Monday, November 23, 2009

Salam 'Iduladha - Menghayati Semangat Pengorbanan


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)

Pada hari Jumaat ini tanggal 10 Zulhijjah 1430 Hijrah bersamaan 27 November 2009 Masihi, umat Islam di Malaysia akan sama-sama merayakan Hari Raya 'Idul Adha atau lebih dikenali sebagai 'Hari Raya Haji' atau 'Hari Raya Korban'. Aidiladha disebut sebagai Hari Raya Korban adalah ekoran ibadah 'korban' yang disyariatkan pada hari tersebut iaitu dengan menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, kerbau atau unta.

Penyembelihan korban dilakukan setelah selesai solat 'Idul Adha pada 10 Zulhijjah dan masih diteruskan pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah. Kaedah pembahagian daging korban ialah sepertiga disedekahkan kepada fakir miskin, sepertiga untuk jiran dan sahabat handai walaupun kaya, dan sepertiga lagi adalah untuk kegunaan orang yang melakukan korban. Daging korban disunatkan agar diberi dan disedekahkan secara mentah tanpa dimasak.

Ibadah korban telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Antara tujuan ibadat ini dilakukan ialah untuk mengingati semangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.. Nabi Ibrahim a.s. telah mendapat wahyu melalui mimpinya bahawa Allah s.w.t. memerintahkannya untuk menyembelih anaknya Ismail. Ini merupakan perintah yang amat berat bagi nabi Ibrahim, apatah lagi Ismail merupakan anak kesayangannya yang dilahirkan setelah baginda melewati usia lanjut, hasil perkongsian hidupnya dengan Hajar.

Namun, kekuatan iman dan semangat pengorbanan yang tinggi yang dimiliki oleh nabi Ibrahim menyebabkan baginda bertekad dengan sepenuh hati untuk melaksanakan perintah Allah ini. Allah s.w.t. telah merakamkan dalam al-Quran kata-kata nabi Ibrahim kepada anaknya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku, bahawa aku (diperintahkan) untuk menyembelihmu, maka apakah pendapatmu". Walaupun Nabi Ismail a.s. ketika itu masih muda, tetapi baginda tidak teragak-agak dalam memberikan persetujuan terhadap perintah Allah ini. Allah telah menyatakan dalam al-Quran tentang jawapan yang diberikan oleh nabi Ismail kepada bapanya, dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan mendapati (menyaksikan sendiri) daku dari orang yang sabar"

Berbekalkan semangat pengorbanan yang tinggi kepada Allah, Nabi Ibrahim a.s. dan nabi Ismail a.s. bersedia untuk melaksanakan perintah Allah ini. Lalu, Nabi Ibrahim a.s. pun meletakkan pisau yang tajam di leher anaknya untuk menyembelihnya. Pada saat itu juga, Allah s.w.t menunjukkan Kekuasaan dan KeagunganNya dengan menggantikan nabi Ismail dengan kibasy untuk disembelih oleh nabi Ibrahim a.s.

Bermula dari sejarah inilah, ibadah korban dilaksanakan. Nabi Muhammad s.a.w. meneruskan ibadah korban ini, dan ia menjadi satu amalan Islam yang dilaksanakan pada setiap hari raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyrik. Firman Allah dalam surah al-Kawthar ayat 2 bermaksud: "… tunaikanlah solat kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur)".

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dan al-Hakim, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak melakukan seorang anak Adam sesuatu amalan pada hari raya Adha yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darahnya jatuh di sisi Allah pada satu tempat kemuliaan lebih dahulu dari jatuh kebumi. Maka berkiralah diri kamu dengan korban".

Ibadah korban yang dilakukan pada hari raya haji dan pada hari-hari Tasyrik ini bukanlah semata-mata untuk menyembelih binatang dan disedekahkan dagingnya kepada fakir miskin, akan tetapi ia juga merupakan simbolik ke arah semangat pengorbanan dan semangat jihad yang perlu ada pada diri setiap individu muslim. Orang yang akan memperoleh keredhaan Allah, dan yang akan mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat ialah mereka yang sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan jiwa raga di jalan Allah s.w.t.

Akan tetapi, yang menjadi persoalannya ialah mengapakah terdapat di kalangan umat Islam yang sanggup melakukan ibadah korban dengan menumpahkan darah binatang yang disembelih sebagai tanda taat kepada Allah, namun tidak sanggup 'berkorban' dalam mentaati perintah Allah dalam perkara yang berkait dengan hukum hakam agama yang lain? Mengapakah masih terdapat di kalangan umat Islam yang tidak melaksanakan perintah Allah seperti menunaikan solat lima waktu dengan sempurna, menutup aurat, menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau dan sebagainya? Mengapakah juga masih terdapat di kalangan umat Islam yang bergelumang dengan maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti menipu, rasuah, judi, dan sebagainya?

Justeru, dengan semangat pengorbanan yang ada di musim perayaan Aidiladha ini, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menilai kembali tindak tanduk dan perbuatan kita seharian agar ia selari dengan kehendak dan ajaran islam. Kita hendaklah bersedia melakukan pengorbanan semata-mata mencari keredhaan Allah. Korbankanlah waktu yang ada dengan dimanfaatkan untuk mentaati segala perintah dan suruhan Allah. Korbankanlah juga keinginan nafsu syahwat yang mendorong ke arah kejahatan, dengan meninggalkan segala larangan Allah.

Musuh utama kepada pengorbanan yang hendak dilakukan ialah syaitan dan hawa nafsu. Ia berusaha menipu manusia dengan perasaan sayang yang berlebihan kepada wang ringgit, takut rugi atau membuang masa apabila melakukan sesuatu kebajikan dan amalan soleh, dan bermacam-macam godaan dan tipu dayanya lagi. Allah berfirman dalam surah al-Fatir ayat 6, maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh. Kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala".

Mudah-mudahan, 'Idul Adha pada tahun ini memberikan sinar pengorbanan yang sejati pada diri setiap individu muslim. Kita akan berusaha apa sahaja demi melakukan pengorbanan dalam mencari keredhaan Allah dan kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat 175 bermaksud: "Adapun orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada agamanya, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar darinya (Syurga). Dan limpah kurnianya yang tidak terkira, dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (agama Islam) untuk sampai kepadaNya (Allah)"

Friday, November 20, 2009

Saranan Bekas Murid Sekolah Mubaligh Kristian Kemboja

Saya menerima surat dari bekas murid sekolah mubaligh Kristian, Kemboja yang tinggal di Malaysia... dan beliau turut serta memberi sumbangan untuk program Korban di Kemboja yang saya laksanakan pada tahun ini. Jadi, saya sertakan isi kandungan surat yang beliau tulis untuk renungan kita bersama...



Monday, November 16, 2009

Umpama Wangian Kasturi


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(artikel ini telah disiarkan di Majalah Solusi, edisi 13)
Sabda Rasulullah bermaksud:

Belajarlah al-Qur’an serta bacalah, kerana perumpamaan al-Qur’an bagi orang yang mahu belajar, membaca, dan melaksanakannya adalah seperti satu bekas yang dipenuhi dengan wangian kasturi yang baunya menyebar pada setiap tempat, dan perumpamaan orang yang mahu mempelajarinya dan ia lupa (mengamalkannya), maka di hatinya seperti ada satu bekas wangian kasturi yang masih tertutup.
(Hadis riwayat al-Tirmidhi)

Dalam hadis ini, Nabi Muhammad s.a.w. telah membawakan satu bidalan dan perumpamaan tentang kelebihan mereka yang beristiqamah dalam membaca dan mengamalkan isi kandungan al-Qur’an. Mereka yang mempelajari al-Qur’an, beristiqamah dalam membacanya dan beramal dengan isi kandungannya telah diumpamakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan bekas minyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi dan baunya yang harum dapat dihidu di setiap tempat.

Gambaran yang diutarakan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis ini amat menarik sekali kerana ia mempunyai kaitan yang amat rapat dengan kesukaan manusia iaitu sesuatu yang wangi dan harum. Semua orang suka kepada sesuatu yang wangi dan harum serta tidak suka kepada sesuatu yang busuk. Itulah fitrah manusia. Sesungguhnya apabila seseorang itu membaca al-Qur’an, keberkatan bacaannya itu umpama kasturi yang wangi dan harum yang akan dapat di’nikmati’ oleh orang yang mendengarnya (Lihat al-Mubarakfuri, 8/153).

Contoh jelas harumnya bacaan ayat-ayat suci al-Quran dapat dihayati melalui kisah Umar al-Khattab yang memeluk Islam. Walaupun pada asalnya Saidina Umar begitu beria-ia hendak membunuh nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, namun apabila beliau mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, hatinya terus terpikat dengan keindahan ayat-ayat suci al-Quran tersebut. Begitulah betapa indah dan harumnya bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Kisah Umar Memeluk Islam

Pada suatu hari, ketika Umar al-Khattab berbincang dan berdiskusi dengan para pemimpin dan ketua-ketua puak Quraisy di Dar al-Nadwah, tentang dakwah yang telah dibawa oleh Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, Umar kelihatan amat marah dan begitu kuat menentang dakwah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda Rasulullah didakwa sebagai seorang yang membawa perpecahan dalam masyarakat, baginda dilihat sebagai seorang yang memecah-belahkan hubungan di antara ayah dan anak, suami dan isteri serta segala perpecahan yang berlaku dalam kalangan saudara mara.

Perasaan marah yang melua-luap itu telah membuatkan Umar bangun dan berjalan menuju ke rumah al-Arqam Bin Abi al-Arqam. Tujuan Umar ke sana adalah dengan niat untuk membunuh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Ketika dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah, Umar terserempak dengan seorang lelaki dari Bani Zuhrah. Lalu berlakulah dialog di antara mereka berdua. Antara dialog tersebut ialah:

Lelaki Bani Zuhrah: Ke mana engkau hendak pergi wahai Umar? Aku lihat engkau begitu marah sekali!
Umar: Aku hendak pergi membunuh Muhammad!
Lelaki Bani Zuhrah: Bagaimana engkau nak membunuh Muhammad, sedangkan adik engkau Fatimah dan suaminya Zaid pun sudah mengikuti agama Muhammad dan meninggalkan agama engkau!
Umar: Betulkah kata-katamu itu?
Lelaki Bani Zuhrah: Betul dan aku tidak berbohong.
Umar: Kalau benar katamu itu iaitu mereka mengikuti agama Muhammad, aku akan bunuh mereka dengan cara yang kejam!

Umar dengan perasaan yang amat marah bergegas ke rumah adiknya Fatimah. Sekiranya benar sebagaimana yang dikata oleh lelaki Bani Zuhrah itu, maka ia tidak akan membiarkan adiknya dan iparnya itu begitu sahaja, sebaliknya akan dibunuhnya mereka berdua terlebih dahulu. Apabila Umar sampai ke rumah adiknya Fatimah, beliau mendapati pintu rumahnya agak terbuka sedikit. Ketika Umar ingin meluru masuk ke dalam rumah adiknya itu, beliau terdengar suara yang membaca ayat-ayat tertentu yang tidak difahaminya. Pada ketika itu Khabbab sedang mengajar bacaan ayat-ayat al-Quran kepada Fatimah dan Sa’id. Apabila menyedari kehadiran Umar, Khabbab berasa takut lalu bersembunyi.

Umar terus masuk ke dalam rumah dan menemui adiknya Fatimah dan adik iparnya Sa’id. Lalu Umar bertanya: apakah ayat yang aku dengar tadi? Lantas Fatimah pun mengambil lembaran al-Quran dan menyatakan kepada Umar bahawa tiada apa yang didengarnya. Lalu Umar pun berkata kepada sepasang suami isteri itu: “Aku mendengar bahawa kamu berdua telah mengikut agama Muhammad!”. Lalu Umar menampar dengan sekuat hati muka adik iparnya Sa’id sehingga mengalir darah dimukanya. Fatimah bingkas bangun untuk mempertahankan suaminya, lalu ditampar pula oleh Umar sehingga melukakannya.

Perstiwa ini telah menguji keimanan Fatimah dan suaminya Sa’id. Lalu dengan tegas mereka berdua berkata kepada ‘Umar: “Ya, kami telah memeluk Islam dan kami juga telah beriman kepada Allah dan rasulNya, oleh itu buatlah apa sahaja yang kamu suka terhadap kami!.” Dalam suasana darah yang masih mengalir di muka Fatimah dan Sa’id, dan jawapan mereka berdua yang menyatakan tentang keimanan mereka tanpa sebarang ragu dan takut telah memberikan kesan di hati ‘Umar.

Lalu Umar pun berkata kepada adiknya dengan suara yang sedikit lembut: “Berikan kepadaku helaian yang mengandungi bacaan yang aku dengar tadi yang dibawa oleh Muhammad itu.” Fatimah berkata: “Kami bimbang kamu akan membuat sesuatu kepada helaian al-Quran ini.” Jawab Umar: “Jangan takut, aku tak akan melakukan sesuatu yang tidak baik.”

Kemudian Fatimah pun memberikan lembaran yang mengandungi ayat al-Quran tersebut kepada Umar setelah memintanya untuk mandi dan membersihkan dirinya terlebih dahulu. Umar pun membaca ayat-ayat tersebut:

Maksudnya: “Taa’ Haa, Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan, Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang yang takut melanggar perintah Allah, (Al-Quran) diturunkan daripada (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi, Iaitu (Allah) Ar-Rahman, Yang bersemayam di atas Arasy.” (Surah Taha , ayat 1-5)

Setelah selesai membacanya, Umar pun berkata: “Betapa cantik dan mulianya ayat-ayat ini”!. Apabila mendengar kata-kata Umar, Khabbab pun keluar dari persembunyian dan mengucapkan tahniah kepada Umar dan ia pun memberitahu bahawa nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam pernah berdoa memohon kepada Allah agar dibuka pintu hidayah pada salah seorang daripada dua Umar. Apabila Umar mendengarnya, hatinya semakin tertarik dengan Islam dan dia meminta Khabbab untuk memberitahu di manakah lokasi nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam agar beliau dapat berjumpa dengan Rasulullah dan menyatakan keislamannya kepada baginda.

Begitulah ‘harum’nya ayat-ayat suci al-Quran sehingga dapat mengubah Saidina Umar daripada seorang musuh dan penentang Islam kepada seorang sahabat nabi yang menggunakan keseluruhan hidupnya untuk memperjuangkan serta meninggikan kalimah Allah.

Umpama Bekas Wangian Kasturi

al-Muzhir telah menyatakan bahawa sesiapa yang membaca al-Qur’an, akan sampailah keberkatan itu ke rumahnya dan kepada para pendengar, lalu ketenangan dan pahala itu akan dapat diperolehi sejauh sampainya suara bacaan itu, seperti bekas winyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi, apabila dibuka penutupnya nescaya wangiannya itu akan sampai ke segenap tempat di sekitarnya.

Oleh itu, bayangkanlah betapa wangi dan harumnya persekitaran rumah apabila sentiasa dikumandangkan ayat-ayat suci al-Quran dan diamalkan segala isi kandungannya. Begitu juga ketenangan dan keberkatan akan diperoleh apabila seseorang itu menjadikan al-Quran sebagai bacaan yang diamalkan setiap hari.

Manakala bagi mereka yang mempelajari al-Qur’an tetapi tidak membaca dan tidak beramal dengannya, maka keberkatan itu tidak akan sampai kepada dirinya juga kepada orang lain seperti bekas winyak wangi yang dipenuhi dengan kasturi yang tidak dibuka penutupnya nescaya wangian itu tidak akan sampai kepada sesiapa sekalipun. Justeru, mempelajari al-Quran sahaja tidak mencukupi selagi ia tidak disusuli dengan membacanya dan beramal dengan isi kandungannya. Pepatah Arab ada menyatakan: ”Ilmu tanpa amalan bak pohon yang tiada berbuah”. Ringkasnya, penggunaan bidalan dan perumpamaan dalam hadis ini telah berjaya memberikan perasaan kerinduan kepada orang-orang mukmin untuk sentiasa berdamping dengan al-Qur’an.

Wednesday, November 11, 2009

Istiqamah Umpama Asiyah Isteri Firaun


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(artikel ini telah disiarkan di Majalah Solusi, edisi 11)

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
Dan Allah mengemukakan satu mithal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudharatnya) kepada orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: hal isteri Firaun, ketika dia berkata: “Wahai Tuhanku! binalah untukku sebuah rumah disisimu dalam syurga, dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah aku dari kaum yang zalim. (al-Quran, al-Tahrīm 66:11)

Apabila disebut sahaja nama Firaun, maka semua sudah mengetahui betapa beliau merupakan seorang manusia yang zalim dan menentang Allah. Bahkan, beliau juga telah mengaku dirinya sebagai ‘tuhan’ . Sehubungan dengan itu, beliau menentang dengan keras dakwah yang disampaikan oleh Nabi Musa as.

Namun, sesuatu yang amat ‘mengejutkan’ ialah kebatilan Firaun itu ditentang oleh isterinya sendiri yang mengetahui betapa Firaun merupakan seorang manusia yang sesat lagi zalim. Isteri Firaun amat mengenali suaminya itu, lalu dengan mudah dia menolak ‘ketuhanan’ yang diakui oleh Firaun. Sebaliknya isteri Firaun itu beriman kepada Allah dan amat komited mempertahankan aqidahnya kepada Allah.

Menurut al-Shaukani, Allah S.W.T. telah menjadikan isteri Firaun sebagai suatu bidalan dan perumpamaan bertujuan untuk memberi perangsang dan semangat kepada orang yang beriman agar mereka tetap beristiqamah dalam ketaatan kepada Allah S.W.T., serta berpegang kuat dengan ajaran agama dan bersabar dalam menghadapi apa jua cabaran dan rintangan. Walaupun Asiah isteri Firaun ini berada dalam suasana kekufuran yang dicetuskan oleh suaminya Firaun, namun keimanan yang teguh dan kental telah menyelamatkan dirinya daripada kegelapan kekufuran tersebut.

Keimanan kepada Allah merupakan sesuatu yang amat bernilai dan berharga. Hal ini adalah kerana natijah bagi orang yang beriman ialah syurga yang disediakan untuknya di akhirat. Oleh yang demikian, sesuatu nikmat dan kebahagiaan itu bukanlah boleh didapati secara mudah dan senang. Ia memerlukan kepada pengorbanan dan usaha yang berterusan. Bak kata pepatah… “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakitlah dahulu, bersenang-senang kemudian”.

Orang yang ingin berjaya di dunia ini pun perlukan pengorbanan, apatah lagi kejayaan yang diimpikan di akhirat!. Sehubungan dengan itu, nabi SAW telah menyatakan kepada seseorang yang mengajukan kepada nabi persoalan tentang apakah amalan yang terbaik dengan sabda baginda: “katakanlah: aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah kamu beristiqamah!”.

Rintangan Dan Cabaran

Dalam kehidupan ini, sesuatu kemanisan dan kebaikan tidak akan dapat dicapai dengan mudah melainkan melalui cabaran dan dugaan. Sebagai contohnya ialah seorang pelajar yang ingin berjaya dalam peperiksaan, mahu tidak mahu, dia hendaklah ‘bersengkang’ mata menelaah pelajaran untuk mencipta kejayaan. Tanpa sebarang cabaran dan rintangan, maka kejayaan itu sukar diperoleh.

Begitu juga kalau dilihat pada seorang kanak-kanak yang baru belajar untuk berjalan. Bukan mudah baginya untuk menapak kaki ke hadapan setapak demi setapak. Baru aja hendak melangkah, ia terus jatuh tersungkur ke hadapan. Namun, kesabaran dan kecekalan yang ada pada dirinya untuk terus berjalan, maka ia tidak pernah mengenal putus asa… segala kesakitan yang dialami ditempuh dengan penuh kecekalan dan semangat. Akhirnya kanak-kanak tersebut boleh berjalan.

Apatah lagi dalam menghadapi kehidupan di dunia ini, banyak sekali cabaran dan dugaan yang akan dihadapi dan ditempuhi untuk menuju kejayaan. Orang yang beriman hendaklah bersabar dalam melaksanakan ketaatan dan menjauhi sebarang maksiat demi sebuah kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Siapakah Isteri Firaun?

Menurut al-Qurtubi dan Ibnu ‘Ashur, nama isteri Firaun ialah Āsiyah binti Muzāhim dan sebahagian daripada ahli-ahli tafsir telah mengatakan bahawa beliau ialah emak saudara kepada Nabi Musa a.s.. Beliau tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah S.W.T. dan kepada Nabi Musa a.s. walaupun suaminya Firaun adalah merupakan musuh Allah S.W.T. Dengan keimanannya itu, dia diseksa oleh Firaun hinggalah meninggal dunia.

Menurut al-Tabari dalam kitab tafsirnya, sebagai ganjaran terhadap ketabahan isteri Firaun itu dalam mempertahankan aqidah, doanya telah diperkenankan oleh Allah dengan dibina baginya sebuah mahligai di syurga. Penggunaan bidalan dalam ayat ini adalah bertujuan menanamkan sifat tabah dan cekal dalam meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Istiqamah

Istiqamah merupakan sesuatu yang amat sukar, namun ia amat bermakna dalam kehidupan seseorang. Firman Allah dalam surah al-Fussilat ayat 30 bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (beristiqamah), akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”.

Jadikanlah diri kita seumpama isteri Firaun yang tetap beristiqamah dalam ketaatan kepada Allah walau terpaksa berhadapan dengan kezaliman dan kekejaman suaminya sendiri. Walaupun beristiqamah itu sukar, namun kemanisannya amat terasa. Renungilah pepatah Melayu yang tak lekang dek zaman: “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Moga istiqamah dalam ketaatan sebagai hamba Allah akan membawa kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.

Friday, November 6, 2009

Ibarat Kebun Yang Subur


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
(artikel ini telah disiarkan di Majalah Solusi, edisi 10)

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 265:

Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan. al-Qur’an, al-Baqarah 2: 265

Manusia dan Harta

Suka kepada harta merupakan tabiat semulajadi manusia. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 14 bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)”.

Firman Allah Ta‘ala yang lain dalam surah al-Fajr ayat 20 bermaksud: ”Kamu pula sayangkan harta secara bersungguh-sungguh!”. Walaupun sifat tamak sudah menjadi tabiat semulajadi manusia, namun ia hendaklah diasuh dan dididik supaya menjadi positif. Sifat tersebut sewajarnya dijadikan sebagai motivasi untuk bekerja dan berusaha dengan bersungguh-sungguh mencari rezeki secara halal serta membelanjakannya di jalan Allah SWT.

Mencari harta kekayaan itu suatu keperluan dalam kehidupan, malahan memang umat Islam disuruh mencari kekayaan selama mana ia selari dengan kehendak Islam bagi memenuhi tuntutan untuk melaksanakan tugas membiayai keperluan hidup sendiri, keluarga bahkan untuk membangunkan ummah.

Harta amat penting bagi kehidupan manusia untuk menuju ke jalan yang diredai Allah. Contohnya ialah, kita amat memerlukan harta apabila hendak mengerjakan haji, dan mengeluarkan zakat. Sehubungan itu, Islam tidak menegah manusia mencari habuan untuk kehidupan di dunia tetapi janganlah pula dilupai mengenai bekalan di akhirat.

Hal ini jelas dinyatakan Allah melalui Firman-Nya yang bermaksud, Carilah apa-apa yang telah dikurniakan Allah untuk kebahagiaan di akhirat dan janganlah pula lupa untuk habuan kamu di dunia. (al-Qasas: 77).

Namun, sesuatu yang perlu diingatkan juga ialah harta kekayaan tidak akan membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi. Sebaliknya walaupun hartanya banyak tetapi tidak ada keberkatan, akan dirasakan sempit dan susah. Justeru, harta yang berkat ialah harta yang dibelanjakan di jalan Allah SWT.

Kebun Yang Subur

Bidalan dalam Surah al-Baqarah ayat 265 di atas ditujukan khusus kepada orang beriman yang menafkahkan dan mengeluarkan harta mereka semata-mata untuk mencapai keredaan Allah S.W.T. Menafkahkan harta serta membelanjakannya di jalan Allah S.W.T. merupakan antara elemen terpenting yang menunjukkan sifat ketaatan yang bersemadi di dalam jiwa seseorang kehadrat Ilahi.

Hati yang dipenuhi dengan keimanan sahajalah yang akan membuatkan seseorang itu akan mengeluarkan hartanya demi mencapai keredaan Allah S.W.T. Hati seorang mukmin yang disuburkan melalui amalan sedekah adalah ibarat tanah subur yang disirami hujan, lalu mengeluarkan hasil yang banyak dan berlimpah-ruah (sila lihat Sayyid Qutb, Fi zilal Al-Qur’an, Dār al-Shurūq, Beirut, 1992, jil. 1, hlm. 309)

Orang yang membelanjakan hartanya dengan penuh keikhlasan ini diumpamakan dengan kebun yang berada di dataran tinggi yang sentiasa menerima siraman hujan. Kebun yang berada di dataran yang tinggi biasanya mempunyai tanah yang subur kerana keadaan tempatnya yang tinggi itu akan mudah memperolehi udara dan cahaya matahari yang cukup, sekaligus akan menghasilkan buah-buahan yang baik dan bermutu (sila lihat Al-Zuhaili, Wahbah, al-Tafsir al-munir, Dār al-Fikr al-Mucāşir, Beirut, 1991, jil. 3, hlm. 53).

Ibnu Kathir melalui kitab tafsirnya pula telah menukilkan pandangan Ibnu ‘Abbās dan al-Dhahhāk yang menyatakan bahawa keadaan kebun di dataran tinggi itu tentunya mempunyai sungai yang sentiasa mengalir yang sekaligus mengairi kebun tersebut. Begitulah betapa indah dan cantiknya gambaran kebun yang dinyatakan bagi menggambarkan kelebihan mereka yang membelanjakan harta di jalan Allah.

al-Zamakhsharī dalam tafsirnya telah menyatakan bahawa bidalan ini telah menunjukkan bahawa sedekah yang dikeluarkan itu adalah laksana hujan, sekiranya sedekah itu banyak maka ia seperti hujan yang lebat, sekiranya sedikit ia seperti hujan renyai-renyai.

Kesimpulannya ialah orang yang mengeluarkan hartanya di jalan Allah S.W.T. dengan harapan untuk mencapai keredaan Ilahi, akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meneruskan amalan tersebut. Sekiranya mereka dikurniakan rezeki yang banyak, mereka akan mengeluarkan harta mereka dengan banyak, begitu juga sekiranya mereka dikurniakan rezeki yang sedikit, mereka tetap akan menginfakkannya walaupun sedikit.

Amalan orang yang beriman ini sangatlah baik dan digalakkan oleh Islam dan ia samalah seperti tanah kebun yang subur yang pasti akan mengeluarkan hasil sama ada disirami hujan dengan lebat atau sedikit. Sehubungan dengan itu, wajar kita bertanya diri kita apakah kita mahu menjadi seumpama kebun yang subur dengan membelanjakan harta di jalan Allah atau menjadi kebun yang kering-kontang yang langsung tidak mendatangkan hasil?!. Tepuk dada, Tanya iman!.

Timbul pula satu persoalan…. Walaupun mengetahui keistimewaan dan kurniaan yang banyak bagi mereka yang membelanjakan harta di jalan Allah, namun mengapakah masih terdapat mereka yang masih bakhil dan kedekut terutamanya dalam kalangan orang Islam itu sendiri? Untuk menyelesaikan masalah ini, setiap individu perlu bermuhasabah dan bertanya diri sendiri persoalan-persoalan berikut:

- adakah harta yang dimiliki adalah hak mutlak kita atau hak mutlak Allah SWT?
- Adakah membelanjakan harta di jalan Allah akan menyebabkan harta kita semakin berkurangan atau semakin bertambah ekoran keberkatan yang dikurniakan Allah?
- Adakah harta yang dikumpul di atas dunia ini akan berkekalan selamanya dan boleh di bawa sekali ke liang lahad?
- Adakah harta yang dimiliki boleh menjamin kebahagiaan seseorang sekiranya tidak ada keberkatan pada harta tersebut?
- Apakah yang paling penting dalam kehidupan seseorang demi menjamin kebahagiaan di akhirat kelak?

Sekiranya persoalan-persoalan di atas dapat dijawab dengan penuh rasional dan keinsafan, sudah tentu kita akan berusaha memanfaatkan harta yang dimiliki sebaik mungkin dengan membelanjakannya di jalan Allah demi kecemerlangan dunia dan akhirat. Kata-kata Ibrahim Adham boleh dijadikan panduan iaitu: “Letakkanlah Dinar dan Dirham (wang ringgit) itu di atas tangan dan janganlah meletakkannya di dalam hati”.

Friday, October 30, 2009

Mengapa Sukar Untuk Beristiqamah?

Oleh: Ustaz Shauqi

Ramadhan dan Syawal sudah pun melabuhkan tirainya. Masih terbayang di mata kemeriahan ibadah pada bulan Ramadhan. Masjid dan surau dipenuhi dengan para jamaah yang beriktikaf, mengerjakan solat secara berjamaah, bertadarus dan sebagainya. Syawal pula disambut dengan laungan takbir yang bergema di seluruh pelusuk negara tanda kemenangan menundukkan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan. Namun, suatu persoalan yang perlu dijawab ialah sejauh manakah komitmen untuk beristiqamah dan meneruskan kesinambungan ketaatan pada Allah pada bulan-bulan yang datang selepas Ramadhan?

Sudah menjadi adat dan kebiasaan dalam masyarakat kita untuk berlumba-lumba menunaikan ibadah pada bulan Ramadhan, tetapi apabila berlalunya Ramadhan, segala amal ibadah yang dilakukan terus ditinggalkan begitu sahaja. Amalan yang dilakukan itu adalah seumpama pepatah yang menyatakan ‘macam hangat-hangat tahi ayam’. Kalau dahulunya masjid dan surau dipenuhi oleh para jamaah, kini ia kembali lengang. Kalau pada bulan Ramadhan, boleh dikatakan setiap hari kita membaca al-Quran, namun kini al-Quran sudah tersimpan rapi di dalam almari.

Dalam bulan Ramadhan, masyarakat kita berlumba-lumba untuk bersedekah, namun apabila berlalunya bulan tersebut ramai yang kembali menjadi bakhil. Kalau dalam bulan Ramadhan, puasa dapat dilaksanakan selama sebulan, tapi apabila datangnya Syawal, puasa enam hari pun amat berat untuk dikerjakan, sedangkan semua maklum tentang ganjaran ‘puasa enam’ sebagaimana dalam hadis nabi SAW yang bermaksud: ’Barang siapa yang puasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal (ganjarannya) adalah seperti puasa setahun penuh’. (Hadis Riwayat Imam Muslim). Persoalannya, mengapakah sukar sangat untuk beristiqamah dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah?.

Seorang ulama salaf ditanya tentang mereka yang bersungguh-sungguh dalam ibadahnya pada bulan Ramadhan tetapi jika Ramadhan berlalu mereka tidak bersungguh-sungguh lagi dalam mengerjakan ibadah, lalu beliau menjawab: ’seburuk-buruk golongan adalah yang tidak mengenal Allah secara benar kecuali di bulan Ramadhan sahaja, padahal orang soleh adalah mereka yang beribadah dengan bersungguh-sungguh di sepanjang tahun’. Dalam hal ini, Sheikh Yusuf al-Qaradawi telah menyatakan : ’Jadilah hamba Allah, bukannya hamba Ramadhan’.

Meneruskan ibadah serta beristiqamah melaksanakannya setelah berlalunya Ramadhan menandakan diterimanya amalan soleh yang dikerjakan, kerana apabila Allah Ta'ala menerima amalan seseorang hamba, pasti Dia menolong hamba tersebut dalam meningkatkan perbuatan baik selepasnya. Sebahagian cerdik pandai mengatakan : Pahala amal kebaikan adalah kebaikan yang ada sesudahnya. Justeru, sesiapa yang dikatakan mengerjakan kebaikan adalah dilihat berdasarkan kebaikan yang ada sesudahnya. Sesiapa yang mengerjakan kebaikan kemudian melanjutkannya dengan kebaikan lain, maka hal itu merupakan tanda terkabulnya amalan pertama. Demikian pula sebaliknya, jika seseorang melakukan suatu kebaikan lalu diikuti dengan yang buruk atau tidak beristiqamah dalam melaksanakannya, maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amal yang telah dibuat.

Bukan sekadar itu, malahan kalau diperhatikan sikap dan tabiat dalam masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu Islam, maka akan didapati bahawa mereka hanya akan menghormati tempat-tempat atau masa-masa tertentu sahaja. Sebagai contohnya, kedapatan mereka yang terpaksa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah, maka akan dipakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Akan tetapi, apabila keluar sahaja dari perkarangan mahkamah, maka aurat kembali didedahkan. Begitu juga ’trend’ mengadakan upacara akad nikah di masjid. Kelihatan pengantin dan tetamu yang hadir akan berpakaian menutup aurat ketika berada di dalam masjid. Namun, apabila selesai sahaja upacara akad nikah dan masing-masing sudah keluar dari masjid, maka persoalan aurat sudah dilupakan. Apakah mereka menyedari bahawa Allah yang mengawasi gerak-geri dan perbuatan manusia bukan sahaja melihat telatah manusia di dalam masjid dan di bulan Ramadhan, bahkan Allah mengawasi seluruh perbuatan manusia pada setiap masa dan tempat?!.

Justeru, menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk kembali bermuhasabah dan menilai sejauh manakah kefahaman dalam melaksanakan perintah Allah. Sekiranya amalan yang dilakukan itu tidak disandarkan kepada ilmu pengetahuan serta kefahaman yang cukup, maka dibimbangi amalan baik yang dilakukan itu tidak dikira sebagai ibadah di sisi Allah, sebaliknya ia merupakan ’adat’ semata-mata. Budaya ikut-ikutan tanpa ilmu dalam masyarakat perlu dibanteras dan ditangani segera kerana ia merupakan salah satu faktor penghalang kepada ‘istiqamah’ dalam pengabdian diri kepada Allah SWT.

Istiqamah merupakan sesuatu yang amat sukar, namun ia amat bermakna dalam kehidupan seseorang kerana ganjaran bagi mereka yang beristiqamah dalam melaksanakan amalan soleh ialah syurga. Firman Allah dalam surah al-Fussilat ayat 30 bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (beristiqamah), akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”.

Nabi SAW telah ditanya oleh seorang sahabat: “Wahai Rasulullah! Katakanlah kepadaku satu perkataan tentang Islam yang aku tidak perlu bertanya kepada orang lain”. Rasulullah SAW. bersabda: "Ucapkanlah ‘aku beriman kepada Allah’ kemudian beristiqamahlah." (hadis riwayat Muslim). Keimanan dan istiqamah ini akan menatijahkan keselamatan dari segala bahaya dan memperolehi keredhaan Allah dengan memperoleh nikmat dan kurniaan syurga daripada Allah. Nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah jelas menyatakan bahawa iman meliputi aqidah yang benar, amalan hati seperti keinginan kepada kebaikan dan membenci kejahatan, dan perbuatan anggota fizikal seperti solat, zakat, haji, menolong orang lain dan sebagainya.

Keteguhan dalam keimanan akan menentukan ketepatan dalam amalan-amalan iaitu dengan mengikhlaskan diri kepada Allah serta melakukannya menurut petunjuk Rasulullah SAW. Amalan-amalan ini akan menjadi lebih sempurna apabila dilakukan dengan penuh istiqamah dan dilaksanakan secara berterusan. Halangan-halangan yang berlaku kepada seseorang tidak akan menyekatnya dari terus mengabdikan diri kepada Allah baik ketika sakit atau sihat, senang atau susah, dalam perjalanan atau di tempat sendiri. Istiqamah merupakan tanda kesempurnaan amalan seseorang mukmin dan ia merupakan sesuatu yang amat besar nilainya. Sehubungan dengan itu, sesukar mana pun istiqamah, kita hendaklah berusaha melaksanakannya demi memperoleh keredhaan Allah dan mengecapi kebahagiaan yang abadi di akhirat kelak.

Tuesday, October 27, 2009

Ibadah Korban dan Sumbangan di Kemboja 1430/2009


Saudara-Saudara Islam kita di Kemboja hidup dalam keadaan yang amat daif dan menyedihkan. Mereka amat memerlukan sumbangan dan bantuan daripada masyarakat yang prihatin dan masyarakat yang menghayati konsep persaudaraan di dalam Islam. Menyedari hakikat ini, ana bersama rakan-rakan di AKADEMI IMAM SYAFEI di atas nama KEBAJIKAN mengambil inisiatif untuk menyalurkan sumbangan dalam bentuk ibadah korban / aqiqah, bantuan kepada guru-guru al-Quran dan institusi pendidikan, bantuan kepada fakir miskin serta pembinaan asrama anak yatim dan fakir miskin.
SATU BAHAGIAN KORBAN / AQIQAH = RM 250 (Lembu), RM 350 (Kambing)

SUMBANGAN / DERMA UNTUK GURU-GURU QURAN DAN ISNTITUSI PENDIDIKAN, BANTUAN KEPADA FAKIR MISKIN DAN SEBAGAINYA ADALAH BERGANTUNG KEPADA KEIKHLASAN ANDA.

Sesiapa yang berminat, boleh hubungi ana untuk tindakan yang selanjutnya. sila email ke: shauqi02@yahoo.com

Monday, October 26, 2009

Masjidil Haram Akan Datang...






Thursday, October 22, 2009

Hukum Menyambut Deeparaya


OlehMohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Ada orang bertanya tentang kewajaran kita menyambut Deeparaya (Deepavali + Raya Aidilfitri). Persoalannya ialah adakah umat Islam dibenarkan untuk turut sama merayakan perayaan bukan Islam?. Perayaan yang berbentuk budaya tidaklah menjadi suatu masalah, akan tetapi bagaimanakah pula sambutan perayaan yang berbentuk agama, adakah ia wajar disambut oleh masyarakat Islam? Setiap individu muslim sepatutnya meneliti persoalan ini dengan berhati-hati berlandaskan hukum syara’ agar akidah terpelihara, dan dalam masa yang sama hubungan di antara masyarakat Islam dan bukan Islam tetap menjadi erat.

Perayaan dalam Islam merupakan satu ibadah. Ia bukan merupakan adat dan budaya. Ibadah bermaksud pengabdian diri kepada Allah semata-mata. Ibadah dilakukan sebagai lambang ketaatan kepada Allah. Justeru, Rasulullah saw melarang golongan Ansar merayakan perayaan Jahiliyyah yang sudah sedia diamalkan oleh masyarakat Madinah sebelum kedatangan Islam. Sabda Rasulullah bermaksud:“Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kamu yang lebih baik daripada keduanya(hari raya) iaitu hari raya Adha dan hari raya al-Fitri.” (Hadis riwayat Abu Dawud 1134, Nasaei 1556 dan Ahmad 1241).

Hadis nabi ini menegaskan dua perkara iaitu pertamanya; haram menyambut perayaan agama lain. Keduanya; Islam telah memberikan dua perayaan yang jauh lebih baik daripada perayaan Jahiliyyah iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Syeikhul Islam Ibnu Taymiyyah dan anak muridnya Ibnu Qayyim bersikap amat tegas dalam persoalan ini iaitu mereka melarang keras umat Islam daripada terlibat dan turut serta dalam sebarang perayaan kaum musyrikin dan ahli kitab. Ibn Taymiyyah juga menegaskan bahawa perayaan adalah satu syariat. Kata Ibn Taimiyyah: “perayaan merupakan sebahagian daripada syariat, manhaj dan ibadah yang disebut oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud: ‘setiap umat Kami jadikan jalan ibadah yang mereka jalani’ (Rujuk Iqtidha’ al-Sirat al-Mustaqim juz 1, hlm. 207 )

Perayaan-perayaan agama bukan aktiviti sosial semata-mata. Perayaan agama merupakan syiar bagi sesebuah agama tersebut. Ia merupakan salah satu ciri istimewa yang ada pada setiap agama. Justeru, Rasulullah menegaskan kepada Saidina Abu Bakar dengan sabda baginda yang bermaksud: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari perayaan. Dan ini merupakan hari perayaan kita.” (Hadis Bukhari 952 dan Muslim 892).

Muhammad Saleh al-Munajjid, seorang ulama dan ahli majlis fatwa kerajaan Arab Saudi serta beberapa ulama kerajaan Arab Saudi yang lain pula berpendapat bahawa hukum mengucap tahniah kepada bukan Islam pada hari-hari kebesaran mereka seperti pada hari Krismas dan sebagainya adalah haram dan bertentangan asas-asas akidah Islam.

Hujah yang dikemukakan oleh mereka ialah hari perayaan agama kaum bukan Islam pada hakikatnya adalah syiar agama mereka. Umat Islam diperintahkan agar tidak meniru syiar dan budaya kaum bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang meniru syiar sesuatu kaum (bukan Islam), maka dia daripada golongan mereka - (riwayat Abu Dawud bilangan 4031. Musnad Ahmad Ibn Hanbal, bilangan 5093).Hujah mereka yang seterusnya ialah berdasarkan satu kaedah di dalam Islam iaitu ‘redha dengan kekufuran adalah kufur’. Justeru, turut serta berhari raya dengan kaum bukan Islam, serta mengucap tahniah dan selamat Hari Raya kepada mereka, adalah antara tanda kerelaan hati terhadap kekufuran seseorang.

Setiap perkara ibadah tidak boleh dikongsi dengan bukan Islam. Ini ditegaskan oleh firman Allah dalam surah al-Kafirun yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad). Wahai orang kafir! Aku tidak beribadah (mengabdikan diri) pada apa yang kamu abdikan diri. Dan kamu juga tidak menjadi pengabdi (melakukan ibadah)pada apa yang aku abdikan diri. Dan aku bukanlah pengabdi (pelaku ibadah) pada apa yang kamu abdikan diri Dan kamu juga tidak menjadi pengabdi (melakukan ibadah)pada apa yang aku abdikan diri. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”

Manakala Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi pula, ketika membahaskan perkara ini telah menyatakan bahawa tidaklah menjadi suatu kesalahan memberikan ucapan selamat hari raya kepada rakan dan jiran yang musyrikin, kerana Islam tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan kepercayaan ini. Keharusan ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu, sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil”. Namun, al-Qaradawi melarang keras daripada turut serta dalam perayaan yang berasaskan upacara keagamaan kerana ia melibatkan akidah dan kepercayaan.

Prof Dr Abd al-Sattar Fathullah Said, seorang pensyarah Tafsir dan ‘Ulum Quran di Universiti Azhar pula berpendapat bahawa mengucapkan tahniah dan selamat hari raya pada perayaan bukan Islam adalah harus selagi tidak bercanggah dengan hukum syara’. Akan tetapi sekiranya ucapan tahniah dan selamat hari raya itu diungkapkan dalam bentuk doa seperti ‘moga Allah berkati pada keluarga dan hartamu’, ianya adalah haram dan dilarang sama sekali. Begitu juga menurut beliau harus memberi hadiah sebagai ucapan tahniah kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka, tetapi hadiah tersebut mestilah bukan sesuatu yang diharamkan seperti arak, potret lucah dan sebagainya.

Syeikh Dr. Mustafa Zarqa pula ketika membincangkan persoalan ini telah menyatakan bahawa mengucapkan tahniah atau ucapan selamat hari raya kepada kenalan bukan Islam adalah termasuk dalam bab kesopanan (mujamalah) dan keelokan dalam pergaulan. Namun, sesiapa yang keliru, contohnya dengan mengatakan bahawa sambutan hari kelahiran Isa adalah perayaan mereka (seperti Aidilfitri dan Aidil Adha), maka ia adalah haram, kerana ianya mempunyai kaitan dengan aqidah Kristian tentang ketuhanan Isa.

Hujah yang dikemukakan oleh beliau antara lain ialah peristiwa yang berlaku pada zaman nabi s.a.w. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. berdiri tatkala satu jenazah Yahudi melalui kawasan yang diduduki oleh Rasulullah dan para sahabat. Berdirinya Rasulullah itu adalah penjelasan tentang betapa hebat dan agungnya kematian itu, tidak ada kaitan dengan aqidah jenazah tersebut (iaitu bukan kerana hendak menghormati aqidah jenazah tersebut).

Namun, perlu juga diberi perhatian bahawa, mengucapkan selamat hari raya kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus, tetapi merayakannya dengan pengisian-pengisian mungkar di dalamnya, itu adalah haram.

Justeru, apakah tidak merayakan perayaan agama selain Islam menafikan toleransi di antara kaum? Toleransi tetap wujud dengan bukan Islam, tapi bukan dalam perkara ibadah dan yang melibatkan perayaan agama. Toleransi kaum boleh dipupuk pada setiap hari dalam pergaulan harian. Toleransi di antara kaum juga boleh dipupuk ketika menyambut ulang tahun hari kemerdekaan negara dan sambutan lain yang bersifat patriotik. Sehubungan dengan itu, pupuklah toleransi di antara kaum dengan tanpa menggugat akidah Islam!.

Thursday, October 15, 2009

Persoalan Haji Akbar


Oleh: Ustaz Shauqi

Semalam, ada sahabat bertanya tentang Haji Akbar.... Dikatakan bahawa Raya Haji tahun ini akan jatuh pada hari Jumaat... jadi persoalan yang telah dikemukakan apakah jemaah haji pada tahun ini akan memperoleh haji akbar?....
Ramai juga umat Islam yang prihatin dengan ajaran Islam bertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan haji akbar itu? Adakah berwuquf pada hari Jumaat sahaja dikatakan memperoleh Haji Akbar? Bagaimana pula dengan jemaah yang menunaikan haji yang kebetulan wuquf mereka pada hari selain Jumaat, maka adakah mereka tidak memperoleh haji Akbar? Segala persoalan-persoalan yang berlegar dalam minda umat Islam mestilah dijawab dan diberi perhatian dengan segera agar mereka tidak terus berada dalam keadaan buntu, dan sekurang-kurangnya satu ilmu baru dapat dipelajari bagi mereka yang amat gemar dalam mengkaji ilmu-ilmu Islam.

Telah dikatakan bahawa jemaah haji yang kebetulan wuqufnya jatuh pada hari Jumaat, maka mereka akan mendapat pahala yang banyak dengan dilipat gandakan pahala melebihi 70 haji. Perkara ini telah disebutkan di dalam beberapa buah buku, dan disandarkan kepada satu hadis yang bermaksud: "Sebaik-baik hari Arafah ialah yang jatuh pada hari Jumaat, dan kelebihannya melebihi 70 haji pada hari selain dari Jumaat". Tambahan daripada itu, dikatakan juga bahawa fadhilat tentang Haji Akbar juga telah disebut di dalam al-Quran. Justeru, apakah kenyataan ini sahih dan benar? Marilah sama-sama kita meneliti maksud haji Akbar dengan lebih terperinci dan pemahamannya menerusi al-Quran dan sunnah nabi s.a.w.

Haji Akbar dari sudut bahasanya bermaksud haji yang besar iaitu ibadat haji yang akan memperoleh pahala yang besar. Istilah ’haji Akbar’ telah disebut oleh Allah melalui firmanNya dalam surah al-Taubah ayat 3 yang bermaksud: ”Dan (Inilah) suatu permakluman daripada Allah dan rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji Akbar bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya berlepas diri daripada orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah, dan beritakanlah kepada orang kafir (bahawa mereka akan mendapat) siksa yang pedih”.

Para ulama’ tafsir telah berbeza pandangan tentang maksud haji Akbar yang telah disebutkan dalam ayat 3 surah al-Taubah itu. Dalam tafsir al-Baidhawi (juzuk 3, halaman 128), dijelaskan bahawa terdapat dua pendapat tentang maksud haji Akbar sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam ayat al-Quran di atas. Pendapat pertama mengatakan bahawa haji Akbar ialah hari raya haji. Pendapat ini disandarkan kepada hadis (Sunan Abu Daud, hadis 1661) yang menjelaskan bahawa ketika Rasulullah saw berdiri pada hari al-nahr (korban) di kawasan Jamrah iaitu semasa Rasulullah menunaikan Haji Wada’, baginda bersabda, inilah haji Akbar. Pendapat kedua mengatakan bahawa maksud haji Akbar ialah hari Arafah bersandarkan kepada hadis Rasulullah saw yang menyatakan bahawa haji itu ialah Arafah (Lihat hadis 2901 dalam Sunan al-Tirmidhi, hadis 2966 dalam Sunan al-Nasa'ei, hadis 3006 dalam Sunan Ibnu Majah). Disebut haji Akbar (haji besar) adalah untuk membezakan dengan ibadat umrah yang disebut sebagai haji Asghar (haji kecil).

Dalam Sunan al-Tirmidhi (hadis 853), nabi saw ditanya tentang ibadah umrah sama ada ia wajib atau tidak, lalu Rasulullah saw bersabda: ’ia tidak wajib, tetapi kalau kamu melaksanakannya, maka ia terbaik untuk kamu’. Lalu hadis ini telah diberikan ulasan oleh Abu ’Isa al-Tirmidhi dengan katanya: ’Hadis ini ialah hadis Hasan Sahih, dan ia merupakan pandangan kebanyakan ahli ilmu yang menyatakan bahawa umrah itu bukan ibadah yang wajib dan ibadah umrah disebut sebagai haji Asghar (haji kecil), manakala hari al-Nahr disebut sebagai haji Akbar (haji besar)’.

Manakala dalam tafsir al-Qurthubi (juzuk 8, halaman 69-70), ketika membincangkan ayat 3 surah al-Taubah ini, djelaskan juga tentang perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’ tentang maksud haji Akbar. Dikatakan bahawa haji Akbar ialah hari Arafah. Namun mengikut pandangan Ibnu Abbas, Ibnu Mas’ud, Ibnu Abi Awfa, al-Mughirah bin Syu’bah dan lain-lain haji Akbar ialah hari al-Nahr iaitu merujuk kepada hari raya korban. Perbincangan yang hampir sama juga telah dibincangkan di dalam kitab-kitab tafsir yang lain iaitu perbezaan pendapat tentang haji Akbar hanyalah berkisar sama ada ia merupakan hari Arafah atau ia adalah hari al-Nahr iaitu tanggal 10 Zulhijjah hari permulaan bagi ibadah korban (Sila rujuk al-Tabari 10/69, Ibnu Kathir 2/336, al-Dur al-Manthur 4/128-129, al-Tafsir al-Munir 5/445, dan lain-lain kitab tafsir).

Daripada perbincangan para ulama’ terhadap persoalan haji Akbar ini, didapati bahawa mereka tidak mengaitkan haji Akbar itu dengan hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat. Sebaliknya mereka lebih cenderung mengatakan bahawa haji Akbar ialah hari al-Nahr (penyembelihan korban yang bermula pada 10 Zulhijjah) atau ia adalah hari Arafah yang tidak dikaitkan dengan hari yang tertentu sama ada Jumaat, Sabtu dan sebagainya.

Sehubungan dengan itu, bagaimana pula dengan pandangan yang menyatakan bahawa haji Akbar itu ialah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat dan pahalanya berlipat kali ganda melebihi 70 kali haji biasa? Bagaimana pula dengan hadis yang diriwayatkan oleh Razin dalam ’Tajrid al-Sihah’ yang menyatakan bahawa sebaik-baik hari Arafah ialah yang jatuh pada hari Jumaat, dan kelebihannya melebihi 70 Haji pada hari selain dari Jumaat?.

Mengenai pandangan yang menyatakan bahawa haji Akbar ialah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat dan digandakan pahala sebanyak 70 haji itu, kebanyakan para ulama’ menolak pandangan tersebut. Manakala hadis yang diriwayatkan mengenai perkara tersebut, para ulama’ menyatakan bahawa ia hadis yang tidak sahih dan batil. Ibn Qayyim dalam kitab Zad al-Ma’ad menyatakan bahawa hadis itu batil, tiada asal baginya sama ada daripada Rasulullah, para sahabat mahu pun para tabien. Pendapat ini disokong oleh al-Manawi dan Ibn Abidin. Begitu juga pandangan yang dikemukan oleh al-Hafiz Ibn Nasiruddin al-Dimasyqi ketika membahaskan kelebihan hari Arafah telah menyatakan bahawa hadis yang menyatakan bahawa wuquf pada hari Jumaat menyamai pahala 72 haji adalah batil dan tidak sahih.

Syeikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya apakah terdapat sumber daripada Rasulullah saw tentang kelebihan haji (Arafah) pada hari Jumaat, telah menyatakan bahawa tidak warid (datang) daripada Rasulullah saw yang menyatakan tentang kelebihan Arafah pada hari Jumaat, namun para ulama’ menyatakan bahawa Arafah yang jatuh pada hari Jumaat membawa kebaikan. Antara kebaikannya adalah seperti berikut:
1- Haji yang dilakukan adalah seumpama haji yang telah dikerjakan oleh Rasulullah saw kerana ketika nabi menunaikan haji wada' , wuquf di Arafah jatuh pada hari Jumaat.
2- Jumaat merupakan penghulu bagi segala hari dan ia merupakan saat dan waktu yang doa seseorang mudah diperkenankan.
3- Hari Arafah merupakan hari 'raya', dan begitu juga hari Jumaat dianggap sebagai hari 'raya'. Jadi apabila Arafah berlaku pada hari Jumaat, maka sudah tentu kebaikannya amat banyak.

Ibn al-Qayyim telah menyenaraikan beberapa kebaikan yang terdapat pada hari wuquf yang jatuh pada hari Jumaat. Antaranya ialah:

1- Bertemunya dua hari (Arafah dan Jumaat) yang merupakan sebaik-baik hari.
2- Hari yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.
3- Bersamaan dengan hari wuquf Rasulullah saw ketika mengerjakan haji wada'.
4- Pertemuan besar manusia di Arafah pada hari wuquf, ditambah pula pertemuan pada hari Jumaat untuk khutbah dan solat Jumaat.
5- Kedua-dua hari tersebut merupakan hari 'raya'.
6- Ketaatan dan amalan soleh yang dibuat pada hari Jumaat mempunyai nilaian dan kelebihannya yang tersendiri.
7- Bersamaan dengan Hari Perhimpunan Agung di akhirat kelak. Rasulullah saw juga telah menyatakan bahawa kiamat akan berlaku pada hari Jumaat

Walaupun kebaikan Wuquf pada hari Jumaat tidak dapat dinafikan mempunyai kebaikan yang banyak, namun sesuatu yang masyhur dalam kalangan masyarakat bahawa ia mempunyai nilaian sebanayak 70 haji adalah tidak sahih kerana hadis tentangnya ditolak oleh para ulama'.

Friday, October 2, 2009

Fenomena Rumah Terbuka


Oleh: Ustaz Shauqi

Fenomena dalam menyambut hari raya dalam masyarakat kita akhir-akhir ini ialah dengan mengadakan ‘rumah terbuka’. Konsep rumah terbuka ini adalah sesuatu yang baik sekiranya dilaksanakan mengikut lunas-lunas dan ajaran Islam yang mulia. Namun, apabila ia dilaksanakan dengan mengabaikan tuntutan syarak, maka ia tidak lagi menjadi ibadat sebagaimana yang diharapkan.

Antara tujuan mengadakan ‘rumah terbuka’ ialah untuk menghidupkan amalan ziarah-menziarahi pada hari raya. Sebagaimana yang dimaklumi, amalan saling ziarah menziarahi pada hari raya merupakan tradisi yang disyariatkan di dalam Islam. Begitu juga menjamu jiran dan sahabat-handai dengan makanan dan jamuan merupakan sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai sedekah.

Namun, kadang-kala berlaku, ‘rumah terbuka’ yang diadakan itu hanya menjemput golongan tertentu sahaja, yang mengakibatkan amalan ziarah-menziarahi tidak berkembang kepada golongan yang lain. Sesetengah orang pula tidak akan menziarahi rakan taulannya melainkan setelah dibuat ‘rumah terbuka’. Seolahnya amalan ziarah tertakluk kepada adanya rumah terbuka. Sekiranya tiada rumah terbuka, maka amalan ziarah tidak akan dilakukan pada hari raya. Sedangkan apa yang dikehendaki oleh Islam ialah, amalan ziarah-menziarahi itu hendaklah dilakukan bagi menghubungkan ikatan silaturrahim dan hubungan yang erat dalam kalangan umat Islam walaupun dengan ketiadaan ‘rumah terbuka’.

Apa yang lebih penting ialah amalan saling ziarah- menziarahi di antara satu sama lain seperti menziarahi orang tua, saudara-mara, kaum kerabat, jiran, para guru dan sahabat-handai sebenarnya tidak terbatas dengan adanya ‘rumah terbuka’ atau pada hari raya sahaja, tetapi ia perlulah dilakukan dari semasa ke semasa demi mengukuhkan ikatan ukhuwwah dan persaudaraan sesama kita.

Apatah lagi sekiranya ‘rumah terbuka’ yang diadakan telah menyebabkan berlakunya pembaziran, maka ia amat ditegah oleh ajaran Islam. Walaupun hidangan dan juadah yang disajikan semasa ‘rumah terbuka’ tentulah menyelera dan mengasyikkan kita yang melihatnya. Ketupat, lemang, rendang, biskut, kek dan banyak lagi merupakan nikmat dan rezeki yang Allah berikan kepada kita. Namun janganlah sampai membazir!

Akibat terlalu lahap makan dan minum, 'sang penyakit' mula menyerang kita tanpa kita ketahui. Sakit perut, darah tinggi, kencing manis dan sewaktu dengannya adalah penyakit yang selalu kita dengar dan perolehi sejak akhir-akhir ini. Cara pemakanan yang kurang teratur dan stabil adalah punca utama. Pepatah Arab ada mengatakan: "Perut itu pangkal (punca) penyakit dan berjaga-jaga (berpantang) itu pangkal penawar."

Berserdahanalah dalam setiap perkara yang kita lakukan. Sebaik-baik perkara ialah yang sederhana.

Puasa Enam di Bulan Syawal


Oleh: Ustaz Shauqi

Nabi SAW bersabda bermaksud: Barang siapa yang puasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal adalah seperti puasa setahun penuh. ( H.R.: Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa puasa enam hari itu boleh dilakukan secara berurutan ataupun tidak berurutan, kerana ungkapan hadis itu bersifat mutlak, akan tetapi bersegera melaksanakan puasa enam hari itu adalah lebih utama. Kata Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni Muhtaj, puasa enam elok dilaksanakan secara berturut-turut tetapi sekiranya dilakukan secara berselang-seli juga tidak menjadi satu kesalahan.

Antara fadilat puasa enam ialah mereka yang melaksanakan puasa enam akan diberi ganjaran seperti berpuasa setahun sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil daripada sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang riwayat Imam an-Nasai bermaksud: "Berpuasa pada bulan Ramadan seolah-olah berpuasa selama sepuluh bulan dan puasa enam pada bulan syawal seperti berpuasa dua bulan."

Manakala di dalam kitab Sabil al-Muhtadin pula, dinyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari pada bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Tambahan daripada itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita pada bulan Ramadan ini kita teruskan juga pada bulan Syawal, walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana terpaksa atau kewajipan semata-mata tetapi kita melakukannya kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada Tuhannya. Semuanya bertujuan membersihkan diri dan menundukkan hawa nafsu.

Membiasakan puasa setelah berlalunya Ramadhan menandakan diterimanya puasa ramadhan, kerana apabila Allah Ta'ala menerima amal seseorang hamba, pasti dia menolongnya dalam meningkatkan perbuatan baik selepasnya. Sebahagian cerdik pandai mengatakan : Pahala amal kebaikan adalah kebaikan yang ada sesudahnya.

Oleh kerana itu sesiapa yang dikatakan mengerjakan kebaikan adalah dilihat berdasarkan kebaikan yang ada sesudahnya. Sesiapa yang mengerjakan kebaikan kemudian melanjutkannya dengan kebaikan lain, maka hal itu merupakan tanda atas terkabulnya amalan pertama. Demikian pula sebaliknya, jika seseorang melakukan suatu kebaikan lalu diikuti dengan yang buruk maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amal yang telah dibuat.

Antara manfaat puasa enam hari pada bulan syawal juga adalah sebagai kesinambungan amalan yang dikerjakan seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Rabbnya pada bulan Ramadhan tidak terputus dengan berlalunya bulan mulia ini.

Seorang ulama salaf ditanya tentang mereka yang bersungguh-sungguh dalam ibadahnya pada bulan ramadhan tetapi jika ramadhan berlalu mereka tidak bersungguh-sungguh lagi dalam mengerjakan ibadah, beliau menjawab: seburuk-buruk golongan adalah yang tidak mengenal Allah secara benar kecuali di bulan Ramadhan saja, padahal orang soleh adalah yang beribadah dengan sungguh-sungguh di sepanjang tahun.

Oleh kerana itu sebaiknya orang yang memiliki hutang puasa Ramadhan memulai membayarnya di bulan syawwal, kerana hal itu mempercepat proses pembebasan dirinya dari tanggungan hutangnya. Kemudian dilanjutkan dengan enam hari puasa syawwal, dengan demikian ia telah melakukan puasa ramadhan dan mengikutinya enam hari di bulan Syawal.

Namun begitu, dalam hal mana yang perlu diutamakan sama ada berpuasa qada' atau berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, terdapat 3 pandangan mengenainya, iaitu:

1. Pandangan Pertama : Qadha dulu baru buat sunat. Dalilnya ialah hadis nabi "sesiapa yg puasa Ramdhan dan diikuti dengan 6 hari dalam bulan Syawal, maka akan mendapat pahala sepanjang tahun". Jadi, dalam hadis ni menyatakan kena settle puasa ramadhan dulu, then dilengkapkan dgn puasa sunat syawal. so, kena qadha dulu mana yg tak settle dari ramadhan , baru sambung dgn yg sunat.

2. Pandangan Kedua: buat yg sunat dulu atau buat puasa 6 dulu, baru qadha' sebab puasa 6 ni waktunya terhad hanya dalam bulan Syawal, tetapi qada' boleh dibuat pada waktu lain... berdasarkan dalil bahawa Aisyah pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqada hingga ke bulan Syaaban akan datang. Aisyah berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW." (Sahih Muslim). Ulama yang mengemukakan pendapat ini berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, Aisyah tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.

3. Pandangan Ketiga: niat puasa qada' dan apabila puasa qada' tersebut berbetulan dgn hari2 yg disunatkan, maka akan mendapat pahala puasa sunat sekali.

Kesimpulannya... elok ler diqada' terlebih dahulu puasa sebab bayar hutang yang wajib dulu, sekiranya ada kesempatan lagi... boleh diteruskan pula dgn puasa sunat, kalau dah tak berkesempatan, maka moga2 puasa qada' yg dilakukan pada bulan Syawal itu akan mendapat pahala puasa enam sekali. wallahu'alam

Monday, September 28, 2009

Rasuah: Malaysia Makin Merudum




Malaysia terus merudum dalam Indeks Persepsi Rasuah apabila berada pada kedudukan ke 47 pada tahun 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007.

Malah, kedudukan Malaysia lebih buruk dari Israel yang dilabel sebagai entiti haram pengganas dan negara yang dianggap kurang membangun seperti Botswana dan Bhutan. Israel berada pada kedudukan ke-33, Botswana ke-36 manakala Bhutan berada pada kedudukan ke-45.

Paling mendukacitakan ialah apabila indeks yang dikeluarkan oleh TI itu menunjukkan negara-negara umat Islam tidak mengamalkan ajaran Islam yang memerangi rasuah.

Negara-negara seperti Somalia, Iraq, Afghanistan dan Sudan berada di tangga paling bawah. Somalia berada di kedudukan tercorot iaitu ke-180, Iraq ke-178, Afghanistan ke-176 dan Sudan ke-173.

Negara yang berada di tempat teratas ialah Denmark diikuti oleh New Zealand, Sweden dan Singapura.

Di Malaysia, negara menanggung kerugian sebesar RM10 billion setahun akibat rasuah - iaitu jumlah yang mencukupi untuk membina lebih dari 15000 kos rendah jika diambilkira permohonan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) kepada kerajaan untuk menaikkan harga rumah kos rendah kepada RM60,000.

Dalam laporannya, TI membangkitkan amalan keluar masuk yang berterusan di antara bidang politik dan perniagaan di mana pihak tertentu bertukar-tukar tempat dari kedudukan sebagai ahli politik kepada ahli perniagaan atau dari ahli perniagaan kepada ahli politik dan terus keluar masuk di antara kedua-dua bidang itu.

Keadaan itu, menurut TI, mengakibatkan pengaruh yang negatif kepada konsep "check and balance" (semak dan imbang)

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa hubungan serba kompleks antara politik, sektor awam dan sektor swasta itu mungkin mengakibatkan rasuah berlaku dengan bebas tanpa sebarang hukuman.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low berkata, usaha mencegah rasuah di negara ini tidak ubah seperti melepas batuk di tangga sahaja jika tidak dilaksanakan tindakan drastik untuk memisahkan hubungan selesa antara kerajaan, perniagaan dan politik.

Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula tidak memperlihatkan hasil yang diinginkan dan orang ramai menganggap suruhanjaya itu mengamalkan penyiasatan dan pendakwaan secara berpilih-pilih.

Ziarah Bekas Guru Sempena Idulfitri 1430

Ustaz Abdul Halim kini merupakan Penolong Kanan di SMKA al-Irshad, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Ustaz Harun kini bertugas di Sek Men Telok Ayer Tawar, Butterworth.


Cikgu Roshidah Abu masih bertugas di SMKA al-Irshad, Pokok Sena, Kepala Batas, SPU.

Sunday, September 27, 2009

Berehat di Ulu Legong Hot Spring




Friday, September 18, 2009

Ziarah Kubur Pada Hari Raya


Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)

Hari raya Aidilfitri ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu ammarah di sepanjang bulan Ramadhan. Apabila muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertakwa. Inilah matlamat ibadah puasa sebagaimana firman Allah S.W.T. menerusi ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan puasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Hari raya Aidilfitri sekiranya disambut dengan adab-adab yang telah digariskan oleh syara’, sudah tentu ia bukan sahaja mendatangkan kegembiraan dan keseronokan, malahan perayaan tersebut akan diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t. Justeru, kita hendaklah menjadikan hari raya sebagai suatu perayaan ibadat yang penuh dengan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Dewasa ini, masyarakat Malaysia menyambut hari raya dengan penuh meriah dan menyeronokkan. Pada pagi raya, masyarakat Islam di negara kita berbondong-bondong pergi menziarahi kubur sanak saudara setelah selesai menunaikan solat sunat hari raya. Sesuatu yang perlu dibincangkan ialah apakah ziarah kubur pada hari raya merupakan amalan yang baik di dalam Islam atau sebaliknya? Dan apakah amalan-amalan tersebut dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah?

Ziarah Kubur

Pada asasnya, menziarahi kubur itu merupakan sesuatu yang baik dan digalakkan di dalam Islam. Pada zaman permulaan Islam, Nabi Muhammad s.a.w melarang orang Islam menziarahi perkuburan. Larangan ini disebabkan kebimbangan timbulnya kepercayaan lama mereka kepada berhala atau sebarang lambang keberhalaan. Akan tetapi kemudiannya, Nabi s.a.w membenarkan umat Islam menziarahinya.

Justeru, tidak menjadi khilaf dalam kalangan ahli ilmu tentang keharusan bagi lelaki untuk menziarahi kubur, manakala bagi wanita pula, terdapat perselisihan pendapat tentang keharusan dan kewajaran mereka menziarahi kubur.

Menurut ulama’ aliran mazhab Hanafi, ziarah kubur adalah disunatkan kepada lelaki dan wanita. Rasulullah s.a.w. sendiri telah pergi menziarahi perkuburan Baqi’ dan mengucapkan salam kepada orang yang telah mati dengan doa baginda yang bermaksud: ‘Selamat sejahtera wahai penghuni rumah orang yang beriman, dan kami kelak Insya Allah akan menyusuli kamu’. Nabi s.a.w juga bersabda: "Dahulu saya pernah melarang kamu menziarahi kubur tetapi sekarang boleh kamu menziarahinya, kerana menziarahi kubur itu boleh mengingatkan kamu kepada kematian” (Hadis riwayat Imam Muslim), dan pada lafaz yang lain “(menziarahi kubur) mengingatkan kamu kepada akhirat."

Ziarah kubur afdhal dilakukan pada hari Jumaat, Sabtu, Isnin dan Khamis. Sunat menziarahinya serta berdoa dalam keadaan berdiri sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menziarahi Perkuburan Baqi’. Disunatkan juga ketika menziarahi kubur membaca surah Yasin. Sunat juga dibaca ayat-ayat al-Quran yang lain seperti al-Fatihah, ayat Kursi, surah al-Takathur, surah al-Ikhlas dan sebagainya. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh oleh Dr. Wahbah Zuhailiy, jilid 2, halaman 540).

Manakala Jumhur fuqaha’ pula, mereka menyatakan bahawa ziarah kubur adalah sunat bagi lelaki dan makruh bagi wanita. Ziarah kubur bagi wanita dianggap makruh kerana jiwa wanita yang lembut akan menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh dan seterusnya akan membawa kepada ratapan dan tangisan. Menurut ulama’ aliran mazhab Maliki, larangan (makruh) ini hanyalah kepada wanita muda, tetapi bagi wanita tua yang sudah tiada ada ‘keinginan ‘, maka hukumnya sama seperti lelaki. Ulama’ aliran mazhab Syafie menyatakan bahawa sunat memperbanyakkan ziarah kubur terutamanya menziarahi kubur orang soleh dan baik, dan hendaklah berdiri di hadapan kubur seumpama berdiri di hadapan orang yang hidup. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, jilid 2, halaman 541-542).

Jelasnya, ziarah kubur adalah sesuatu perkara yang baik apatah lagi ia dapat mengingatkan kita tentang kematian dan hari akhirat yang merupakan pemangkin ke arah melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menjauhi laranganNya. Namun, persoalannya ialah bagaimana pula dengan menziarahi kubur pada hari raya?. Sekiranya dilihat secara umumnya, ziarah kubur boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja kerana tidak ada nas yang melarang menziarahi kubur pada hari-hari tertentu. Begitu juga, masyarakat Islam tidak wajar mengkhususkan pada hari-hari tertentu sahaja seumpama hari raya untuk menziarahi kubur. Sebaliknya menziarahi kubur secara berterusan akan membawa kepada kebaikan pada umat Islam itu sendiri. Apa yang penting daripada ziarah kubur ialah dapat mengingati kematian dan hari akhirat.

Sehubungan dengan itu, apakah menziarahi kubur pada hari raya dapat mendatangkan kesan yang positif kepada umat Islam iaitu dapat mengingati kematian dan hari akhirat? Sekiranya jawapannya adalah ‘Ya’, maka amalan yang seumpama ini bolehlah diteruskan. Akan tetapi, sekiranya jawapan bagi persoalan ini adalah ‘Tidak’, maka ia perlu diselidiki dan diteliti. Apatah lagi, pada kebiasaannya, selepas menunaikan solat hari raya, masyarakat Islam secara beramai-ramai pergi ke kubur dan telah berlaku seolah-olah satu temasya perayaan di tanah perkuburan dengan pakaian yang berwarna-warni, hiruk-pikuk gelak ketawa setelah berjumpa sahabat handai dan sebagainya yang menafikan ingatan kepada kematian dan hari akhirat. Tambah menyedihkan lagi ialah apabila berlakunya percampuran dan pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita di tanah perkuburan!. Amat malang apabila sesuatu yang diharapkan menjadi ibadat bertukar menjadi maksiat.

Oleh yang demikian, amalan menziarahi kubur pada hari raya boleh diteruskan sekiranya matlamat keimanan dan ketakwaan dapat dicapai. Masyarakat Islam juga harus sedar bahawa tidak ada suruhan khusus dalam Islam untuk menziarahi kubur pada pagi hari raya. Justeru, mereka hendaklah mencari waktu yang sesuai untuk menziarahinya agar sesuatu yang diharapkan menjadi ibadat tidak bertukar menjadi maksiat. Sekiranya pada pagi hari raya, terdapat ‘pesta’ di tanah perkuburan, maka sewajarnya kita mencari waktu-waktu lain untuk menziarahinya. Tidak semestinya menziarahi tanah perkuburan boleh dilakukan hanya pada pagi hari raya yang pertama sahaja, sebaliknya menziarahi kubur boleh dilakukan pada petang hari raya pertama, atau pada hari raya yang kedua, ketiga, keempat atau pada hari-hari lain yang difikirkan sesuai yang dapat mendatangkan keinsafan dalam diri.

Thursday, September 17, 2009

Perayaan 'Idulfitri Menurut Islam


Oleh : Ustaz Shauqi


Semasa menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan, terdapat umat Islam yang tidak sabar-sabar menunggu kedatangan 1 Syawal. Golongan tua dengan persepsinya yang tersendiri terhadap hari raya, dan begitu juga dengan golongan muda dan kanak-kanak. Biasanya golongan tua dan yang sudah berumahtangga akan menjadikan hari raya ini sebagai hari yang penuh kegembiraan dengan segala peralatan rumah yang baru dan serba lengkap.

Ada yang sanggup berhutang demi memuaskan nafsu pada hari raya. Justeru, tidak hairanlah apabila berada di penghujung Ramadhan iaitu pada sepuluh hari yang terakhir, warga Islam di Malaysia biasanya akan sibuk dengan persiapan raya. Gedung-gedung pakaian, kedai perabot, dan supermarket akan dipenuhi dengan ribuan manusia yang membeli belah dan membuat persiapan untuknya.

Golongan muda pula biasanya akan menjadikan hari raya sebagai hari yang penuh sukaria dengan berkumpul bersama rakan taulan dan menonton wayang bersama. Ada pula yang mengambil kesempatan pada hari raya untuk pergi berkelah bersama teman-teman. Manakala kanak-kanak pula mempunyai agenda yang tersendiri pada hari raya iaitu dengan memikirkan cara yang terbaik untuk memperoleh ‘duit raya’ sebanyak mungkin.

Daripada senario yang berlaku pada hari raya Aidilfitri di Malaysia, jelas menunjukkan bahawa masyarakat Islam di Malaysia menjadikan hari raya sebagai hari yang penuh kegembiraan!. Namun, apa yang menjadi persoalannya ialah adakah kegembiraan pada hari raya disambut sebagai suatu kesyukuran di atas kemenangan dapat menjalani ibadah puasa atau semata-mata adat yang dirayakan pada setiap tahun? Apa yang lebih menyedihkan ialah terdapat golongan yang bukan sekadar menganggap hari raya sebagai suatu adat tahunan, tetapi melakukan perkara-perkara yang menyalahi syariat Allah. Dengan menggunakan alasan berada dalam masyarakat majmuk, maka terdapat umat Islam yang menyediakan minuman keras kepada para pengunjung rumah mereka di sepanjang musim raya!

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh syara‘ dan tidak dicampur- adukkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan oleh Islam. Perayaan dalam Islam tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain. Hari raya Aidilfitri merupakan kurniaan Allah S.W.T. khusus kepada hamba- hambaNya yang beribadah dan berjuang melawan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan.

Dalam bahasa Arab, hari raya Aidilfitri disebut sebagai ‘Id al-Fitr. Perkataan 'Id bermaksud kembali, perayaan atau hari ulang tahun. Fitr pula bermakna berbuka atau makan minum, iaitu pada hari raya (tanggal 1 Syawal), umat Islam dikehendaki untuk berbuka dan haram berpuasa. Fitr juga bermaksud fitrah atau tabiat semulajadi. Maksudnya ialah ibadah puasa yang dilakukan oleh seseorang itu dalam bulan Ramadhan, disertai dengan ibadah-ibadah lainnya seperti solat tarawih pada malam-malam Ramadhan, bertadarus al-Quran, qiyamullai, zikrullah, berdoa, bersedekah dan sebagainya, akan melebur dan membersihkan segala dosa. Sehubungan dengan itu, pada hari tanggal 1 Syawal umat Islam akan kembali kepada fitrah sehingga keadaan diri mereka seolah-olah kembali bersih seperti bayi yang baru dilahirkan.

Oleh yang demikian, hari raya Aidilfitri ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu ammarah di sepanjang bulan Ramadhan. Apabila muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertakwa. Inilah matlamat ibadah puasa sebagaimana firman Allah S.W.T. menerusi ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan puasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Akan tetapi, sesuatu yang menyedihkan yang berlaku dalam masyarakat kita ialah sambutan hari raya Aidilfitri lebih tertumpu dalam bentuk fizikal atau lahiriah sahaja, dan sesetengahnya tidak sesuai dengan roh pengajaran Islam. Setiap individu muslim wajib menilai kembali segala aktiviti yang telah berjalan pada hari raya selama ini. Ciri-ciri yang diambil daripada budaya luar Islam atau warisan budaya asing, yang tidak sesuai dengan aqidah dan syari'ah Islam hendaklah ditinggalkan. Makanan, juadah dan kuih-muih boleh disediakan pada hari raya, tetapi hendaklah dalam bentuk yang sederhana. Demikian juga dengan perhiasan rumah, pakaian untuk diri dan anak-anak mestilah sesuai dengan kemampuan ekonomi keluarga.

Hari raya Aidilfitri sekiranya disambut dengan adab-adab yang telah digariskan oleh syara’, sudah tentu ia bukan sahaja mendatangkan kegembiraan dan keseronokan, malahan perayaan tersebut akan diberkati dan diredhai oleh Allah S.W.T.

Antara adab menyambut hari raya Aidilfitri sebagaimana yang digariskan oleh syara’ ialah menghidupkan malam hari raya dengan melakukan amal-amal ibadah seperti mendirikan solat fardhu secara berjemaah, melakukan solat sunat, bertakbir, serta melakukan apa jua kebaikan dan kebajikan. Pada malam tersebut juga, hendaklah memperbanyakkan doa ke hadrat Ilahi. al-Imam al-Syafie telah menegaskan dalam kitabnya ‘al-Umm’ bahawa malam hari raya adalah di antara malam yang mudah diperkenankan doa oleh Allah.

Kemeriahan hari raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Firman Allah S.W.T. bermaksud : "Dan sempurnakanlah puasa kamu mengikut bilangan dalam bulan Ramadhan (29 hari atau30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah s.w.t.) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, semoga kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah:185).
Namun, apa yang terjadi dalam masyarakat kita ialah takbir itu dilaungkan dalam keadaan sedih dan mendayu-dayu, sehinggakan ada yang menitiskan air mata kesedihan ketika takbir dilaungkan. Sepatutnya, takbir hendaklah dilaungkan dengan lebih bersemangat demi melahirkan kesyukuran dan mengagungkan Allah S.W.T. Allah memerintahkan agar diakui kebesaran dan keagunganNya melalui laungan takbir.

Pada pagi hari raya pula disunatkan mandi sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh Ibnu Majah dan diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas bahawa Rasulullah S.A.W mandi pada hari raya Fitrah dan hari raya Adha. Di samping itu, disunatkan juga memakai pakaian yang terbaik yang dimiliki, berwangian dan menghilangkan segala bauan yang tidak menyenangkan.

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa "Nabi S.A.W tidak keluar pada waktu pagi hari raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan yang ganjil.". (Hadis riwayat al-Bukhari dan Ahmad). Alangkah menyedihkan fenomena pada hari ini apabila umat Islam berduyun-duyun pergi menunaikan solat sunat hari raya, tetapi dalam masa yang sama mereka meninggalkan solat fardhu lima waktu!.

Amalan saling ziarah menziarahi pada hari raya merupakan tradisi yang disyariatkan di dalam Islam. Dalil yang menunjukkan pensyariatannya ialah sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bahawa beliau telah berkata yang bermaksud: "Rasulullah S.A.W masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu‘ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi S.A.W!" Rasulullah S.A.W. menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat yang lain, Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah hari raya kita". (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ibnu Hajar al-‘Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Saidina Abu Bakar ke dalam rumah Rasulullah menunjukkan seolah-olah Saidina Abu Bakar datang sebagai pengunjung atau menziarahi Baginda.

Namun, amalan saling ziarah- menziarahi di antara satu sama lain seperti menziarahi orang tua, saudara-mara, kaum kerabat, jiran, para guru dan sahabat-handai sebenarnya tidak terbatas pada hari raya sahaja, tetapi ia perlulah dilakukan pada hari dan bulan lain yang sesuai dari semasa ke semasa, apatah lagi menziarahi ibu bapa, hendaklah dilakukan dengan lebih kerap dan janganlah menunggu untuk menziarahi mereka hanya pada hari raya sahaja.

Kanak-kanak pula perlu dididik agar mereka tidak mengunjungi rumah seseorang semata-mata untuk mendapatkan duit raya. Walaupun memberi sedekah amat digalakkan pada hari raya terutama pada kanak-kanak yang miskin, akan tetapi mereka sewajarnya dididik agar pergi beraya adalah untuk berziarah, bukannya untuk mendapatkan duit raya agar tidak timbul sikap membeza-bezakan rumah dalam melakukan kunjungan.

Dalam keghairahan menyambut hari raya Aidilfitri, perlu diingat supaya jangan sesekali lupa kepada kewajipan terhadap Allah S.W.T seperti mendirikan solat fardhu lima waktu. Sambutan hari raya sebenarnya bukanlah semata-mata kegembiraan atau keseronokan sahaja, tetapi yang lebih penting dan lebih utama ialah untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T. Oleh itu, hiasilah hari raya Aidilfitri pada tahun ini dengan sesuatu yang bertepatan dengan hukum syara’. Moga kegembiraan dan keseronokan yang dikecapi pada hari raya, akan juga dapat dikecapi pada hari Akhirat kelak!



Thursday, September 10, 2009

Mengapa Pandang Sepi Pada Lailatul Qadr?


Oleh: Ustaz Shauqi

Firman Allah dalam Surah al-Qadr maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan al-Quran pada malam al-qadr (lailatul qadar), dan tahukah kamu apakah lailatul qadar itu?. Lailatul qadar lebih baik dari seribu bulan.

Lailatul qadar merupakan peluang terbaik kita, oleh itu jangan sia-siakan peluang keemasan ini. Akan tetapi, suatu persoalan yang amat penting, iaitu mengapakah masih ramai di antara hamba-hamba Allah yang masih memandang ringan kepada lailatul qadar?

Mungkin antara sebabnya ialah:

1. Mereka mengidap penyakit lemah iman, mereka kurang jelas tentang kebesaran dan kemuliaan serta ganjaran pahala pada malam al-qadar, sebaliknya mereka lebih nampak besar perkara-perkara materialistik yang boleh didapati dengan segera di dunia ini.

2. Selalu mengikut hawa nafsu sampai mereka tidak berhajat melakukan ibadat pada malam-malam sepuluh akhir Ramadan, kerana nafsu ingin berehat, mahu menonton TV, mahu berbual-bual kosong, mahu bersama-sama bantal, tilam dan kain selimut. Ada pula yang sibuk membeli-belah untuk persiapan raya sampai terlupa ganjaran yang disediakan oleh Allah pada malam al-qadar.

3. Penyakit panjang angan-angan. Mereka berangan-angan akan hidup seratus tahun lagi yang menyebabkan mereka membiarkan malam-malam sepuluh terakhir Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan amal ibadat kepada Allah.

Kita mesti mengubati penyakit ini agar ia tidak menjadi semakin parah. Antara yang boleh dilakukan ialah:

1. Wajib kita menanam penuh keyakinan bahawa ganjaran pahala amal ibadat pada malam al-qadar memang amat besar yang mesti kita berlumba-lumba mendapatkannya.

2.Hendaklah kita menanam keazaman untuk jihad melawan kehendak nafsu agar kita dapat patuh kepada seruan al-Quran, panggilan surah al-Qadr, serta kita dapat meneladani ibadat yang pernah dikerjakan oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w. pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadan.

3. Kita mesti membuang penyakit panjang angan-angan, dengan kita sentiasa ingat bahawa kita mungkin akan berjumpa dengan Malaikat Maut pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, kita amat perlu kepada persediaan amal ibadat sebanyak yang mungkin, lebih-lebih lagi amal ibadat pada malam al-qadar untuk bekalan kita selepas mati.

Marilah kita sama-sama menerima bonus Allah s.w.t. yang berupa nikmat Lailatul qadar dengan penuh kesyukuran dan ikhlas hati. Kita menyahut panggilan surah al-Qadr ini dengan azam untuk kita melaksanakan sebanyak-banyak ibadat pada sepuluh malam akhir Ramadhan ini dengan melakukan solat fardu berjemaah, solat sunat terawih dan witir, membanyakkan bacaan al-Quran, mengulangi membaca surah al-Ikhlas, berdoa, bersedekah, berzikir dan berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dengan penuh harapan semoga kita termasuk di dalam golongan hamba-hamba Allah yang soleh.

Tuesday, September 8, 2009

Perbahasan Tentang Arak


Oleh: Ustaz Shauqi

Pengertian Arak

Para fuqaha’ berselisih pendapat dalam menentukan takrif arak. Apakah ia memberi erti apa sahaja yang memabukkan, atau nama khas bagi minuman tertentu sahaja.

Menurut pendapat jumhur[1], arak bererti segala bahan yang memabukkan, sama ada diberi nama خمر” atau memakai nama apa pun juga, dan samada ia diproses daripada bahan-bahan tertentu seperti buah anggur atau lain-lainnya, seperti tamar, gandum, sya‘ir, beras dan lain-lainnya, dan samada ia dapat memabukkan walaupun sedikit atau dapat memabukkan apabila diambil dengan banyak.

Unsur-unsur penting dalam kesalahan minum arak

Ada dua unsur penting dalam kesalahan meminum arak iaitu perbuatan meminum minuman berkenaan dan niat jahat.

1. Perbuatan meminum minuman berkenaan

Menurut jumhur fuqaha’[2], unsur ini akan wujud apabila seseorang itu meminum apa-apa bahan yang memabukkan tidak kira apa jenis sekalipun bahan tersebut, dan samada banyak atau sedikit kandungan alkohol yang terkandung di dalamnya. Apa yang penting bagi mereka ialah sifat minuman itu sebagai minuman yang memabukkan.

Sedangkan Abu Hanifah[3] pula berpendapat, bahawa unsur perbuatan ini akan wujud hanya apabila yang diminum itu ialah arak. Sedangkan minuman yang selain daripada itu tidak melahirkan unsur ini walaupun ia memabukkan.

Beberapa syarat penting dalam kesalahan meminum arak

Ada beberapa syarat penting bagi menentukan bahawa meminum bahan-bahan yang memabukkan itu boleh didakwa di bawah kesalahan ini iaitu:

a) Bahan yang memabukkan itu hendaklah dalam bentuk minuman. Mengambil bahan-bahan lain yang memabukkan tidak boleh dianggap sebagai kesalahan meminum arak seperti mengambil dadah dan sebagainya. Ia termasuk di bawah kesalahan takzir[4].

b) Seseorang itu akan dianggap telah melakukan kesalahan meminum minuman keras yang boleh dikenakan had apabila ia mengambil minuman tersebut walaupun secara mencampurkannya dengan bahan-bahan lain seperti makanan[5].

c) Hendaklah mengambil minuman keras tersebut melalui mulut dan sekurang-kurangnya telah sampai kepada halkumnya[6].

d) Ia hendaklah dilakukan dengan secara sukarela, tidak dipaksa atau terpaksa. Sabda Nabi s.a.w:

رفع عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه
Maksudnya: “Umatku tidak akan dipersalahkan sekiranya dia melakukan sesuatu kerana tersalah atau terlupa atau dipaksa.”

e) Menurut pendapat Imam Abu Hanifah[7], mengambil minuman keras dengan tujuan untuk berubat tidak akan dikenakan hukuman had, disebabkan keperluan yang wujud, walaupun sebaik-baiknya minuman itu tidak diambil dan diminum. Berbeza sekali daripada pendapat yang rajih dalam mazhab Maliki[8] dan Syafi‘iy[9]. Bagi mazhab-mazhab ini, mengambil minuman keras walaupun dengan tujuan untuk berubat boleh dikenakan hukuman had.

2. Niat jahat

Unsur niat jahat dalam kesalahan meminum minuman keras dapat terbentuk jika peminum tersebut mengetahui bahawa yang diminum itu ialah arak atau yang memabukkan[10].

Hukuman atas kesalahan meminum arak

Hukuman atas kesalahan ini berrdasarkan kepada dalil-dalil berikut:

a) Sabda Nabi s.a.w.:
من شرب الخمر فاجلدوه
Maksudnya: Barang siapa minum arak maka sebatlah dia. (Riwayat Ahmad)

b) Rasulullah s.a.w. pernah melaknat peminum arak dan orang-orang yang terlibat dengan arak. Sabda Nabi s.a.w.:

لعن الله الخمر وشاربها وساقيها وبائعها ومبتاعها وعاصرها ومعصرها وحاملها ومحمولة إليها
Maksudnya: Allah s.w.t telah melaknati arak, peminum, pemberi minum, penjual, pembeli, pemerah, orang yang diperah untuknya, pembawa dan orang yang dibawa kepadanya arak[11]. (Riwayat Abu Dawud)

c) Telah sabit daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda pernah memukul peminum arak. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. yang bermaksud: “Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. seorang yang telah meminum arak. Baginda lalu memukulnya dengan kasut sebanyak empat puluh kali. Begitu juga Abu Bakar, pernah memukul peminum arak sebanyak itu. Apabila sampai pada zaman Umar, beliau bertanya sahabat-sahabat tentang hudud. Jawab Ibn ‘Auf: “Sekurang-kurang hudud ialah sebanyak lapan puluh kali pukul.[12]

ACARA DAN KETERANGAN DALAM KES MEMINUM ARAK

Kesalahan meminum minuman keras boleh disabitkan dengan beberapa cara berikut:

1. Keterangan Saksi

Bilangan saksi yang diperlukan dalam kes seperti ini ialah seramai dua orang lelaki. Mengenai syarat-syarat yang diperlukan pada saksi-saksi pula samalah juga dengan syarat-syarat saksi pada kesalahan-kesalahan yang telah lepas seperti zina, qazaf dan lain-lain.

2. Pengakuan

Kesalahan meminum minuman keras juga boleh disabitkan dengan pengakuan daripada peminum sendiri. Tidak seperti dalam kes zina, pengakuan ini cukup walau hanya sekali sahaja[13]. Pada pandangan Abu Hanifah[14], seperti keterangan saksi juga, pengakuan daripada peminum ini perlu dibuat dalam tempoh tertentu, iaitu dalam masa kesan bau minuman itu masih ada pada mulut peminum berkenaan. Akan tetapi Muhammad tidak mensyaratkan apa-apa tempoh seperti itu, kerana bagi beliau tidak akan ada keraguan pada kesahihan pengakuan oleh sebab atau faktor masa.

3. Bukti

Menurut pendapat Imam Malik[15] bauan minuman keras pada mulut pihak yang didakwa boleh dijadikan bukti kesalahan minuman keras, walaupun tidak ada saksi yang melihat pihak yang didakwa telah melakukan kesalahan tersebut. Dalam hal ini, apabila dua orang memberi keterangan, bahawa terdapat bauan arak pada mulut pihak yang didakwa, atau salah seorang melihat pihak yang didakwa melakukan kesalahan tersebut dan seorang lagi memberi keterangan bahawa terdapat bau arak pada mulutnya, maka kesalahan tersebut boleh disabitkan ke atas pihak yang didakwa berkenaaan. Ini adalah juga pandangan Ahmad ibn Hanbal[16] dalam satu riwayat daripadanya.

Manakala fuqaha’ lain seperti Imam Abu Hanifah[17] dan Syafi‘iy[18] pula berpendapat sebaliknya, iaitu bauan arak tidak bolah dijadikan bukti kepada adanya kesalahan meminum arak. Pendapat ini juga merupakan pendapat yang kuat dalam mazhab Ahmad bin Hanbal[19].



Senarai Rujukan:
[1] Al-Zarqani, h. 112.
[2] Ibid.
[3] Al-Kasani, j. 5, h. 112.
[4] Al- Ansari, h. 159.
[5] Ibid.
[6] Al-Hajjawi, h. 267.
[7] Ibn al-Humam, h. 301.
[8]Al-Zarqani, h. 114.
[9] Syah. al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ‘Ala Syarh al-Minhaj, j. 8, Kahirah, Bulaq, h. 12.
[10] Al-Kasani, j. 7, h. 40.
[11] Al-Haithami, Majma’ al-Zawaid, j. 5, h. 73.
[12] Lihat al-Syawkani, h. 314.
[13] Ibn Qudamah, h. 162.
[14] Ibn al-Humam, j. 5, h. 302.
[15] Al-Zarqani, j. 8, h. 113.
[16] Ibn Qudamah, op.cit.
[17] Ibn al-Humam, h. 308.
[18] Al-Ramli, h. 14.
[19] Ibn Qudamah, op.cit.

Saturday, September 5, 2009

Nuzul al-Quran


al-Quran merupakan mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah kepada nabi Muhammad saw sebagai hidayah, panduan dan pedoman dalam kehidupan manusia. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185 maksudnya : « Bulan Ramadhan, yang bulan diturunkan padanya al-Quran memberi hidayah (petunjuk) bagi manusia dan penjelasan-penjelasan bagi petunjuk itu….. ». Firman Allah dalam Surah al-Isra’ ayat 9, maksudnya : « Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang benar (Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang yang beriman yang mengerjakan amalan soleh, dean mereka akan memperoleh pahala yang banyak ».

Menurut Sheikh Manna’ Qattan dalam bukunya ‘Mabahith fi ‘Ulum al-Quran’, proses penurunan al-Quran berlaku dalam dua peringkat. Peringkat pertama ia diturunkan daripada luh mahfuz ke langit dunia secara sekaligus. Peringkat kedua pula diturunkan daripada langit dunia kepada nabi saw secara beransur-ansur melalui perantaraan malaikat Jibril as. al-Quran yang diturunkan secara beransur-ansur ini mengambil masa selama hampir 23 tahun. Ayat pertama diturunkan ialah ayat 1-5 daripada Surah al-‘Alaq yang diturunkan pada 17 Ramadhan tahun 610 Masihi di Gua Hira’. Manakala ayat terakhir diturunkan ialah ayat 281 Surah al-Baqarah yang diturunkan sembilan malam sebelum kewafatan nabi saw.

Penurunan al-Quran sebenarnya telah memberikan sejuta rahmat kepada manusia. Imam al-Razi dalam kitab tafsirnya telah menjelaskan bahawa al-Quran itu adalah penawar kepada penyakit rohani dan jasmani. Namun apa yang menyedihkan terdapat ramai yang masih tidak menghargai al-Quran dan masih terdapat mereka yang memandangnya sebagai sesuatu yang tidak bernilai. Kalaulah diberi pilihan antara wang ringgit dengan al-Quran, rasanya ramai yang memilih wang daripada al-Quran. Kalau pun ada yang mengatakan bahawa ia memilih al-Quran, mungkin ianya ibarat menanam tebu di bibir mulut tetapi hakikatnya adalah yang sebaliknya. Sehubungan dengan itu, kita wajar bermuhasabah adakah kita benar-benar menghayati kepentingan al-Quran dalam kehidupan kita atau sebaliknya?.

Masyarakat Islam hari ini masih ketinggalan jauh daripada menghayati isi kandungan al-Quran dengan sebenar-benarnya. Justeru, kita dapati al-Quran hanya akan berkumandang bila berlakunya kematian, atau ianya hanya akan dialunkan pada pembukaan majlis-majlis tertentu sahaja. Selepas daripada itu, al-Quran kembali ditinggalkan. Inilah fenomena yang sepatutnya diubati agar ia tidak berterusan. Setiap orang Islam mesti berusaha sedaya upaya untuk membaca, memahami, menghayati dan mempraktikkan keseluruhan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan.

Dr. Solah Abdul Fattah al-Khalidi dalam bukunya ‘Mafatih li al-Ta’amul ma’a al-Quran’ telah menyenaraikan beberapa tujuan utama al-Quran itu diturunkan. Antaranya ialah:
1. Untuk mendapat hidayah daripada Allah,
2. Untuk mewujudkan peribadi muslim yang unggul dan seimbang,
3. Mewujudkan masyarakat Islam tulen,
4. Sebagai senjata dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang berusaha untuk menghancurkan Islam.

Oleh itu, marilah kita bertanya kepada diri kita, sejauh manakah usaha kita untuk menambah keimanan dan keyakinan kita terhadap al-Quran dan sejauh manakah kita telah menjadikan al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk dalam kehidupan kita sehari-hari dan sejauh manakah usaha kita untuk menghayati isi kandungan al-Quran. Untuk melihat bahawa kita benar-benar beriman dan yakin terhadap isi dan kandungan al-Quran tersebut perlulah, ada pada diri kita beberapa ciri sebagai tanda dan ukuran. Ciri-ciri yang dimaksudkan itu ialah:

1. Hendaklah kita sentiasa membaca dan berusaha menghafaznya. Dengan membaca al-Quran ia dapat menambah kebersihan jiwa, ketenangan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Dengan membaca al-Quran itu juga, kita akan mendapat ganjaran pahala dan syafaat dari Allah, sebagaimana maksud sabda junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w: "Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya. "

2. al-Quran itu hendaklah dibaca dengan tartil iaitu dengan bacaan yang terang, jelas dan betul mengikut ilmu tajwid.

3. Hendaklah kita sentiasa meneliti, memahami kandungan dan pengertian yang disampaikan dalam al-Quran. Allah berfirman dalam surah Muhammad ayat 24 yang bermaksud:" Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran"

al-Quran adalah gedung ilmu dan petunjuk yang benar. Ia merupakan khazanah ilmu yang mampu membentuk pemikiran serta akal manusia. Sebab itu apabila seseorang berfikir dengan berlandaskan al-Quran, maka ia menjadi satu pemikiran yang kukuh dan sepadu serta berjaya memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara ke arah yang diredhai oleh Allah S.W.T. Apabila pemikiran berpaksi dengan al-Quran, dengan sendiri kita akan menjadi orang yang berprinsip dan berpendirian. Jika sebaliknya kita akan menjadi manusia yang tidak mempunyai prinsip dan sentiasa berubah-ubah mengikut arus. Orang yang tidak berprinsip hanya menjadi pengikut, penterjemah dan pentafsiran pemikiran orang lain tanpa melihat sama ada pemikiran yang dikemukakan itu benar atau tidak disisi Allah S.W.T.

Saturday, August 29, 2009

Merdekakah Kita Selepas 52 Tahun?



Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Sedar tak sedar, bulan Ogos sudah hampir melabuhkan tirainya. Bagi rakyat Malaysia, bulan ini merupakan bulan keramat yang tidak dapat dilupakan oleh sesiapa. Pada bulan inilah, Malaysia mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British. Tanggal 31 Ogos 1957, berkumandanglah gema merdeka di seluruh pelusuk tanahair, sekaligus memberikan sinar baru dalam kehidupan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sudah boleh menentukan hala tuju sendiri, tanpa kongkongan dan acuan daripada penjajah lagi.

Kini, sudah 52 tahun berlalu. Kemerdekaan yang dicapai menghasilkan kemajuan kepada rakyat Malaysia. Namun, sebagai umat Islam, kita sewajarnya memikirkan sejenak, apakah selama 52 tahun sejak merdekanya bumi Malaysia daripada penjajahan, rakyatnya terutama umat Islam turut merdeka dari sudut tuntutan Islam ?. Sebagai seorang Muslim, adakah kita sudah merdeka dalam erti kata yang sebenarnya ?. Atau apakah kita masih terjajah lagi dengan ‘penjajahan bentuk moden’ iaitu penjajahan pemikiran barat yang merosakkan serta penjajahan budaya ‘hedonisme’ yang menghancurkan?

Merdeka bererti bebas, bebas daripada penjajahan barat dan bebas daripada ideologi mereka. Apa yang lebih penting ialah bebas daripada `jahiliah'. Kemerdekaan menurut Islam juga, ialah apabila seseorang itu berjaya memperolehi kebahagiaan di dunia dan di Akhirat. Untuk memperolehinya, al-Quran dan Sunnah hendaklah dijadikan panduan. Justeru, Imam Malik meriwayatkan, daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud : “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya ; Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulnya ». Sekiranya seseorang muslim itu tidak menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan dalam kehidupan, bermakna dia belum lagi merdeka dari sudut yang sebenarnya.

Sekiranya seseorang muslim itu tidak menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan dalam kehidupan, bermakna dia belum lagi merdeka dari sudut yang hakikinya. Oleh kerana tidak memahami tuntutan al-Quran dan Sunnah, didapati segelintir daripada umat Islam di Malaysia masih melakukan perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Sesungguhnya, Allah Taala telah menyempurnakan agama Islam bagi umat manusia. Dengan demikian, umat Islam memiliki sandaran untuk meraih kebahagiaan dari kesempatan ini yang tidak memerlukan apa-apa lagi tambahan. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Ma’idah yang bermaksud: "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagimu " .

Rasulullah SAW wafat setelah selesai menyampaikan petunjuk-petunjuknya untuk diamalkan dan memberi peringatan kepada umatnya daripada terjebak dalam segala macam kehinaan. Abu Hurairah r.a seorang sahabat Nabi SAW menjelaskan: "Kami diajar oleh Rasulullah SAW segala macam persoalan hingga (bagaimana cara) membuang kotoran (najis). " (Riwayat Imam Bukhari).

Sesungguhnya, Allah SWT telah menurunkan syariat dan menyediakan sistem di bumi ini adalah untuk kebahagiaan manusia itu sendiri. Syariat itu ditentukan oleh Allah Taala dengan menetapkan beberapa tuntutan yang akan menghasilkan sesuatu yang sesuai dengan tujuan penciptaannya. Umpamanya, api diciptakan Allah untuk membakar, besi untuk memotong, makanan untuk mengenyangkan dan air untuk menyegarkan. Begitu juga, ibadah-ibadah yang disyariatkan Allah baik berupa perbuatan hati, lisan atau anggota badan, selama dilaksanakan oleh seorang mukmin sesuai dengan pimpinanNya, ia akan dapat memberikan hasil yang sesuai dengan ibadah yang disyariatkan, baik untuk membersihkan diri, memuliakan akhlak dan memperbaiki rohani.

Apa yang mendukacitakan mutakhir ini ialah apabila terdapat umat Islam yang menyambut ulangtahun kemerdekaan dengan begitu gembira dan meriah sekali, akan tetapi dalam masa yang sama jiwanya belum merdeka daripada penjajahan. Sesetengahnya masih dibelenggu dengan pemikiran penjajah yang merosakkan, lantas dia mengenepikan tuntutan Islam dengan begitu mudah. Terdapat di kalangan umat Islam yang masih selesa untuk melakukan perkara-perkara yang jelas diharamkan. Antara perkara tersebut ialah menolak dan memperlekehkan perintah dan arahan yang diturunkan oleh Allah. Sesetengahnya, masih mahu menerima ideologi, pemikiran dan budaya penjajah barat yang merosakkan dengan menolak sistem lengkap yang ada pada Islam.

Umat Islam yang merdeka jasadnya, tetapi masih terjajah pemikirannya, belum lagi mencapai kemerdekaan yang hakiki, apatah lagi apabila dia lebih yakin dengan sesuatu yang datang daripada manusia lebih baik daripada yang datang daripada Allah. Islam menegaskan bahawa riba itu haram, aurat itu wajib, solat itu tiang agama, dan Islam itu ‘is a complete way of life’. Namun begitu, terdapat di kalangan umat Islam yang masih tidak menunaikan solat, tidak berpuasa Ramadhan, berurusan dengan riba, tidak menutup aurat, gemar melakukan maksiat dan sebagainya. Kalau maksiat terus bermaharajalela dalam diri, perkara yang haram menjadi penghias diri, ini bererti belum dicapai kemerdekaan hakiki. Justeru, marilah sama-sama kita berusaha untuk merdeka dengan cara yang sebenar mengikut acuan yang disediakan oleh Islam agar sambutan ulangtahun kemerdekaan pada tahun ini dapat disambut dengan lebih bermakna.

Friday, August 28, 2009

Hayati Kegemilangan Ramadhan


Oleh : Ustaz Shauqi

BULAN Ramadan mengandungi keberkatan yang berlimpah ruah dan mencurah-mencurah. Di samping itu, bulan Ramadan juga mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa penting di dalam kalendar Islam. Peristiwa itu ialah kemenangan umat Islam dalam menghadapi musuh-musuh Islam sejak lebih daripada 14 kurun yang lalu.

Kemenangan umat Islam adalah berbekalkan senjata keimanan dan ketakwaan ke hadrat Allah.
Bulan Ramadan ini juga mengingatkan kita bagaimana seorang ayah dan seorang anak yang berlumba-lumba untuk ke medan jihad dan menyaksikan bagaimana seorang pahlawan yang tidak sedikit pun gentar dengan musuh demi untuk mencari reda Allah dan mengecapi nikmat syurga-Nya.

Begitu juga umat Islam yang amat kasih dan sayang terhadap saudaranya dan sahabatnya yang sama-sama berada di dalam saf perjuangan Islam.

Perkara ini jelas tergambar apabila kita meneliti kata-kata Huzaifah: “Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untukku berikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila aku dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang sahaja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara seorang muslim yang mengaduh kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum orang itu dahulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia adalah Hisyam bin al-As. Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengaduh kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu dahulu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam dan aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku, dia juga telah pun syahid.”

Semuanya ini memperkukuhkan lagi keyakinan firman Allah pada surah al-Ahzab ayat 23 yang bermaksud: "Di antara orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (Apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun".

Peperangan Badar Al-Kubra

Pada Ramadan tahun kedua Hijrah, bermulalah episod kemenangan umat Islam ke atas musuh-musuh Islam. Pada hari tersebut dapat disaksikan bagaimana tumbangnya tentera-tentera kafir yang gagah perkasa kepada tentera-tentera Islam di Badar.

Di antara pengajaran dan iktibar yang dapat dicedok dan dikutip daripada peristiwa peperangan Badar Al-Kubra ini ialah:

* Kepimpinan yang cekal dalam menghadapi situasi yang bahaya dan mencabar.
Di dalam peperangan Badar ini, nisbah tentera Islam amat sedikit jika dibandingkan dengan tentera kuffar iaitu nisbahnya 1:3. Kemenangan adalah perlu dan amat penting bagi menjamin penerusan agenda perjuangan umat Islam. Justeru, Nabi s.a.w telah bertindak cemerlang sebagai ketua yang memimpin tentera umat Islam. Di samping itu Baginda tidak lupa memberi ingatan kepada para sahabat untuk menanamkan keyakinan dengan pertolongan daripada Allah sebagaimana firman-Nya: Dan Kami (Allah) berkewajipan untuk menolong orang yang beriman. (ar-Rum: 47).

* Bersatu hati dalam menghadapi dan menewaskan kemungkaran.
Orang Muhajirin dan Ansar bersatu hati dan bersepakat untuk keluar menghadapi tentera-tentera Quraisy di dalam Peperangan Badar ini. Kerjasama dan perpaduan erat antara Muhajirin dan Ansar adalah hasil persaudaraan yang dipupuk oleh Rasulullah di antara dua golongan ini semasa Nabi mula-mula sampai di Madinah lagi.

Pembukaan Kota Mekah

Pada hari ke-10 Ramadan tahun kelapan Hijrah musuh dapat dikalahkan dan seterusnya umat Islam menguasai semula kota Mekah yang sebelumnya umat Islam dihina, dicaci dan diusir daripadanya.

Apabila Rasulullah sampai di Mekah, Baginda terus mengunjungi Baitullah dan seterusnya menghancurkan berhala-berhala yang berada di sekeliling Kaabah yang menjadi punca kepada berlakunya syirik. Kemudian Baginda bersabda: Dan katakanlah: Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Peperangan al-Buwaib

Peperangan Buwaib adalah peperangan yang berlaku antara umat Islam dengan tentera-tentera Farsi semasa zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab tahun 13 Hijrah. Di dalam peperangan ini 100 muslim telah syahid manakala 1,000 musuh Islam terkorban.

Peperangan al-Mansourah

Pada bulan inilah tentera-tentera Islam dapat menewaskan tentera-tentera salib. Peperangan ini berlaku pada tahun 647 Hijrah. Ketika itu tentera salib dengan bilangan tenteranya yang ramai dipimpin oleh Raja Perancis Louis IX dan mempunyai senjata-senjata peperangan yang begitu canggih. Tentera Islam pula dipimpin oleh Fakhruddin Ibnu Syeikhul Islam al-Juwaini.
Peperangan yang berlaku pada bulan Ramadan ini menyaksikan kemenangan Islam yang berjaya menawan 100,000 tentera salib dan berjaya membunuh ribuan daripada mereka. Raja Perancis Louis IX juga ditawan dan dipenjarakan di al-Mansourah.

‘Ain Jalut

Peperangan ‘Ain Jalut berlaku pada Ramadan tahun 658 Hijrah. Sebelum itu tentera-tentera Tatar telah menguasai banyak wilayah-wilayah China dan Rusia dan kemudiannya menguasai Iran. Kemudian mereka juga menawan Baghdad dan bertindak ganas dengan membakar dan menghancurkan Kota Baghdad.

Setelah itu mereka menghantar utusan ke Mesir meminta rajanya, Saifuddin Qatar menyerah. Raja Mesir kemudian menghantar tentera-tentera Islam untuk berhadapan dengan tentera-tentera Tatar ini di suatu tempat yang bernama ‘Ain Jalut. Saifuddin berada di tengah-tengah tenteranya seraya membaca ayat-ayat suci al-Quran. Kemudian tentera-tenteranya bersama-sama mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh semangat.

Dengan keyakinan kepada Allah mereka menggempur tentera Tatar yang mula menjadi kacau-bilau dan tidak tentu arah setelah melihat semangat jihad yang begitu utuh pada tentera-tentera Islam.

Kesimpulan

Sebenarnya banyak lagi peristiwa kemenangan umat Islam yang berlaku pada bulan Ramadan ini. Namun yang penting bagi kita umat Islam hari ini ialah kita mengembalikan kegemilangan umat Islam dengan kita menghayati bulan Ramadan yang penuh berkat ini.

Thursday, August 27, 2009

Buku Terbaru- Haramkah Rasuah

Dapatkan buku terbaru saya bertajuk "Haramkah Rasuah". Antara tajuk perbincangan dalam buku ini ialah Pengertian dan sejarah rasuah, Perbahasan rasuah di dalam al-Quran dan al-Hadith, Kaedah fiqh mengenai rasuah, Punca dan faktor berlakunya rasuah, Cara membendung rasuah, Beza antara rasuah dan hadiah, Akta rasuah dan sebagainya. Moga buku ini dapat dimanfaatkan oleh khalayak pembaca dalam usaha memastikan sumber rezeki yang diperolehi adalah halal dan diredhai oleh Allah.

Wednesday, August 26, 2009

Keputusan Pilihanraya Permatang Pasir



BUKIT MERTAJAM: Pas mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, selepas calonnya, Mohd Salleh Man, 52, menang dengan majoriti 4,551 undi. Mohd Salleh memperoleh 9,618 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, 38, yang mendapat 5,067 undi. Keputusan pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, di sini pada jam 7.30 malam tadi. Seramai 14,832 pengundi atau 73.1 peratus daripada 20,290 pemilih mengundi. Sebanyak 83 undi rosak.

Saturday, August 22, 2009

Salam Ramadhan



Salam Ramadhan .... Selamat Menyambut Bulan Ramadhan al-Mubarak 1430 Hijrah... Moga Ramadhan Tahun ini merupakan Ramadhan yang terbaik buat kita semua.

Saturday, August 15, 2009

Doa Tolak Bala


Wabak Selsema Babi Influenza H1N1 makan merebak dan mengorbankan banyak nyawa. Sebagai umat Islam, kita tentu sedar betapa ujian Allah ini adalah untuk manusia insaf, bertaubat serta kembali kepadaNya dengan melaksanakan pengabdian diri hanya kepada Allah SWT Yang maha Esa. Firman Allah dalam surah al-Rum ayat 41, bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut Dengan sebab apa Yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk Yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Ramai orang bertanya-tanya tentang apakah doa yang sesuai untuk diamalkan ketika menghadapi bala dan wabak seumpama ini. Sememangnya, dalam menghadapi situasi sebegini, sewajarnya kita menadah tangan memohon pertolongan Allah dengan berdoa kepadaNya. Apatah lagi nabi SAW telah mennegaskan bahawa "Doa adalah senjata bagi orang yang beriman". Tiga prinsip yang perlu dipegang oleh setiap individu muslim ialah Usaha, Doa dan Tawakkal.

Dalam situasi sekarang ini, terdapat pelbagai sebaran doa untuk diamalkan bagi menghadapi virus H1N1. Namun, sewajarnya diberi perhatian bahawa bukan semua doa yang disebarkan itu boleh diamalkan apatah lagi doa yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam. Terdapat satu doa yang kononnya ia datang daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), namun apabila diteliti, ia hanyalah satu doa propaganda daripada puak syiah yang jelas bercanggah . Doa itu dikatakan ditulis oleh Ibu Ahmad at-Tamimi al-Malizi (syakhsiyyah majhuulah) . Doa itu berbunyi: لي خمسة أطفي بها حر الوباء الحاطمة المصطفى والمرتضى وابناهما مع فاطمة . Perlu ditegaskan bahawa doa 'syiah' ini tidak boleh diamalkan kerana ia boleh membawa syirik kepada Allah.

Antara doa yang boleh diamalkan ialah :

Thursday, August 13, 2009

Kembara Ke Bandung



Pada hari Sabtu yang lepas ... 8hb Ogos 2009, saya berkesempatan ke Bandung bersama beberapa orang teman. Menaiki pesawat AirAsia dari LCCT ke Bandung mengambil masa lebih kurang 2 jam. Cuaca di sana agak sejuk terutama pada waktu malam... Di kesempatan berada di sana, sempat berkenalan dengan kegigihan dan kecekalan orang di sana. Antara yang dijumpai ialah seorang anak muda lulusan Azhar yang giat dalam bidang penulisan dan penterjemahan. Beliau telah menterjemahkan lebih daripada 30 buah buku di samping buku-buku hasil karya sendiri. Selain itu, beliau juga mengkaji dan menulis tafsir al-Quran. Selama 2 tahun, beliau memfokuskan kepada penulisan tafsir al-Quran dengan mengambil skop-skop tertentu untuk diketengahkan kepada masyarakat. Inilah mujahadah hebat yang perlu dicontohi oleh kita.
Kesempatan berada di Bandung juga diambil untuk mengunjungi Pasar Baru yang tersohor di sana yang tingginya 7 tingkat. Pasar Baru Bandung ini merupakan pusat membeli belah yang biasa dikunjungi oleh mereka yang datang di sini. Barangan yang dijual di sini agak murah dan sesuai bagi para peniaga yang ingin mendapatkan barangan untuk perniagaan. Sesuatu yang menarik di pasar ini ialah di atas bumbungnya iaitu di tingkat yang ke 7, terdapat sebuah masjid yang agak besar juga dan dapat menampung jamaah yang ramai. Selesai sahaja menunaikan solat, anda dapat menyaksikan pemandangan bandar Bandung dari atas bangunan tersebut. Saya pulang ke tanahair pada 10 Ogos 2009... Perjalanan yang singkat tetapi mendapat pengalaman yang berguna, Insya allah.

Tuesday, August 11, 2009

Forum Masjid Serantau


Forum Silaturrahim Kemakmuran Masjid Serantau ke IV Kuala Lumpur telah dapat dilaksanakan dengan jayanya dari Jumaat 7 Ogos 2009 hingga Ahad 9 Ogos 2009. Forum ini telah menemukan delegasi dari negara-negara serantau seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Kemboja, China, Myanmar dan sebagainya. Perbincangan ditumpukan ke arah memperkasakan generasi muda ke masjid serta pengalaman yang dapat dikongsi dari negara masing-masing ke arah memperkemaskan institusi masjid amat bermanfaat sekali. Program telah diadakan di ILIM, Bandar Baru Bangi.

Sunday, August 2, 2009

Bahaya Bid'ah


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)
Imam Malik meriwayatkan, daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud : “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang teguh dengan kedua-duanya ; Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulnya ». Oleh kerana tidak memahami tuntutan al-Quran dan Sunnah, didapati segelintir daripada umat Islam di Malaysia masih melakukan perkara yang bercanggah dengan Islam iaitu melakukan perkara-perkara bid’ah.

Bid’ah ialah sesuatu yang bercanggah dengan Sunnah. Menurut istilah syara’ bid’ah ialah sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan masalah agama (untuk mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak ada contoh sebelumnya daripada Nabi SAW, dan tidak pernah dilakukan oleh para sahabat baginda. Bid'ah merupakan perbuatan yang bertentangan dengan sunnah kerana sunnah itu petunjuk sedangkan bid'ah adalah perbuatan yang dilakukan tanpa landasan wahyu (Al-Quran) atau sunnah Nabi SAW dan Ijma' ulama.

Bid'ah ialah ideologi dan pemikiran yang merosakkan. Imam Muslim dalam kitab sahihnya telah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda, maksudnya: “sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah, dan petunjuk yang terbaik ialah petunjuk Muhammad saw, perkara yang paling buruk ialah perkara yang direka-reka (dalam agama), dan setiap perkara yang direka-reka itu bid'ah dan sebarang bid'ah adalah sesat." Sayyidatina Aisyah telah meriwayatkan bahawa nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan dalam urusan kami ini sesuatu yang bukan daripadanya, maka ia tertolak.” (hadis riwayat Imam Muslim). Ibnu ‘Abbas r.a. pula ketika diminta wasiat daripadanya, beliau berkata yang bermaksud : « Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah dan beristiqamah, dan hendaklah kamu mengikut sunnah dan jangan sekali-kali melakukan perbuatan bid’ah ».

Ringkasnya, sesuatu yang boleh dikategorikan sebagai bid’ah ialah apabila ia menepati tiga syarat berikut:
Sesuatu yang dikategorikan sebagai ibadat.
Untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Tidak ada asal dalam agama.

Perkara-perkara bid’ah ini datang daripada tiga arah:
Aqidah; dengan melakukan syirik kepada Allah serta memohon pertolongan kepada selain daripada Allah.
Ibadah: dengan berlakunya penambahan dan pengurangan atau pengubahsuaian terhadap ibadah.
Halal Haram: dengan mengharamkan sesuatu yang halal atau menghalalkan sesuatu yang haram.

Pada zaman nabi, terdapat tiga orang lelaki pergi ke rumah isteri-isteri nabi dan bertanyakan mereka tentang ibadat nabi. Apabila diberitahu kepada mereka tentang ibadat nabi, salah seorang daripada mereka berkata: “Aku akan bangun sepanjang malam untuk solat”. Seorang lagi berkata: “ Aku akan berpuasa sepanjang masa”. Manakala yang ketiga berkata: “Aku tidak akan berkahwin”. Apabila Rasulullah datang, Rasulullah pun bersabda: “Sesungguhnya aku ialah orang yang paling takut dan paling bertakwa kepada Allah, tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku tidur, dan aku juga mengahwini wanita, sesiapa yang tidak suka kepada sunnahku, dia bukanlah daripada golonganku”. (hadis riwayat Imam Bukhari).

Kita harus sedar bahawa akal manusia tidak mampu berdikari untuk membezakan antara kebaikan dan keburukan, memahami yang mana mendatangkan bahaya atau sebaliknya dari segala kejadian yang berlaku, kerana akal itu sendiri tidak sempurna dan juga kerana sesuatu kebaikan itu kadangkala bertentangan dengan naluri dan syahwat.

Oleh itu, akal mestilah berpandukan wahyu Allah SWT yang berupa firman Allah yang bersih dari segala kekurangan dan kealpaan, kejahilan dan kesamaran. Sebenarnya akal kita dengan segala kekurangan, kejahilan, kealpaan dan ketidakmampuannya memahami perkara-perkara yang mempengaruhi nafsu, harus menerima cahaya wahyu Ilahi agar akal benar-benar dapat melihat kebenaran hakiki dan mengetahui sesuatu itu sama ada bermanfaat atau berbahaya, baik atau buruk, sempurna atau rosak.

Akal manusia diumpamakan seperti mata yang dapat melihat sesuatu di hadapannya hanya jika ada sinar cahaya yang meneranginya. Terang atau pudarnya penglihatan tersebut bergantung kepada kuat atau lemahnya sinaran itu. Sekiranya tidak ada cahaya yang meneranginya langsung, mata tidak akan mampu melihat sesuatu yang ada di dalam kegelapan. Begitu juga dengan akal manusia. Andaikata ia dibimbing oleh wahyu Allah iaitu al-Quran dan Sunnah, baharulah ia berupaya melihat sesuatu sebagaimana hakikatnya. Baharulah ia dapat melihat yang mana membahayakan dan yang mana dapat memberi manfaat, yang mana baik dan yang mana rosak, yang mana bagus dan yang mana hina. Apabila dikaitkan dengan ilmu dan iman, akal yang dibimbing wahyu Ilahi ini akan mendorong pemiliknya menjadi manusia yang banyak benarnya daripada salahnya dan menerangi hidupnya di atas nur kebenaran dari Allah SWT.

Sesungguhnya, Allah Taala telah menyempurnakan agama Islam bagi umat manusia. Dengan demikian, umat Islam memiliki sandaran untuk meraih kebahagiaan dari kesempatan ini yang tidak memerlukan apa-apa lagi tambahan. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Ma’idah yang bermaksud: "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagimu " .

Namun, apa yang masih mendukacitakan mutakhir ini ialah apabila terdapat di kalangan umat Islam yang masih selesa untuk melakukan perkara-perkara bid’ah. Antara perkara bid’ah yang masih dilakukan pada zaman moden ini ialah menolak dan memperlekehkan perintah dan arahan yang diturunkan oleh Allah. Sesetengahnya, masih mahu menerima ideologi, pemikiran dan budaya penjajah barat yang merosakkan dengan menolak sistem lengkap yang ada pada Islam. Islam menegaskan bahawa riba itu haram, aurat itu wajib, solat itu tiang agama, dan Islam itu ‘is a complete way of life’. Namun begitu, terdapat di kalangan umat Islam yang masih tidak menunaikan solat, berurusan dengan riba, tidak menutup aurat, gemar melakukan maksiat dan sebagainya. Kalau maksiat terus bermaharajalela dalam diri, bid’ah menjadi penghias diri, ini bererti seseorang belum menjadi seorang muslim yang hakiki.

Tuesday, July 28, 2009

Menangani Masalah Khilafiyyah


Tadi ada seorang sahabat telefon saya untuk berbincang mengenai masalah yang berlaku di suraunya iaitu perpecahan yang ketara dalam kalangan jamaah sehingga ada yang mengambil sikap untuk tidak datang berjemaah di surau. Punca masalah tersebut ialah berlegar pada masalah khilafiah. Contohnya , apabila imam membaca doa qunut semasa solat subuh, maka terdapat dalam kalangan jemaah yang menyatakan bahawa perbuatan imam itu tidak wajar kerana bercanggah dengan sunnah nabi.

Jelas sekali, apa yang berlaku menunjukkan betapa tidak fahamnya segelintir umat Islam terhadap masalah khilafiyyah. Sepatutnya isu seumpama ini tidak timbul lagi dalam suasana umat Islam menghadapi ancaman yang lebih besar dari musuh-musuh Islam. Ubat kepada masalah ini ialah ilmu iaitu hendaklah menuntut ilmu dengan lebih luas dan jangan taksub dan fanatik pada guru-guru tertentu sahaja. Sabda nabi bermaksud: "Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka akan difahamkannya perkara agama".

Justeru, dinukilkan di sini sebahagian dari tulisan Ust Saleh Hj Ahmad yang bertajuk "Khilaf Ulama Dalam Hukum Fiqh: Sebab dan Adab-Adabya" terbitan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang sebagai rujukan dan panduan.

KAEDAH MENANGANI MASALAH KHILAFIYYAH

Suatu perkara yang perlu diketahui bahawa hukum-hukum fiqh ada yang disepakati para imam mujtahidin, ada yang hanya disepakati di kalangan ulama’-ulama’ mazhab berkenaan sahaja, ada yang berlaku khilaf di antara imam-imam mujtahidin dan ada juga berlaku khilaf di kalangan ulama’-ulama’ dalam mazhab yang sama.

Oleh yang demikian, umat Islam harus menerima kenyataan di atas kerana khilaf dalam perkara ijtihad dan hukum yang berasaskan kepada dalil-dalil zanni adalah suatu perkara yang tabi’iy bahkan pasti berlaku sebagaimana yang dinyatakan dalam sebab-sebab khilaf sebelum ini. Seruan untuk menyatukan mazhab-mazhab fiqh adalah suatu yang lucu, justeru memaksa orang lain meleburkan atau mengorbankan pandangan ijtihadnya untuk berada dalam satu mazhab sahaja.

Ini tidak mungkin bahkan ianya bercanggah dengan konsep dan tuntutan ijtihad kerana seorang yang mampu berijtihad dan beramal dengan hukum yang dihasilkan oleh ijtihadnya bahkan tidak harus ia bertaqlid atau berpaling dari mazhabnya kepada pendapat orang lain. Sementara orang awam pula wajib bertaqlid kepada mana-mana mazhab dan pendapat ulama’ mujtahidin yang menjadi pilihannya.

ADAB AL-IKHTILAF

Sebagai seorang muslim, kita perlu menghayati akhlak-akhlak Islamiyyah dalam semua keadaan sebagaimana yang diajar kepada kita oleh Islam dalam al-Quran dan al-Sunnah. Adapun adab atau etika dalam berhadapan dengan masalah-masalah khilafiyyah khususnya bagi kita yang bukan ulama’ mujtahidin perlu sekali diberi penekanan agar tidak menimbulkan porak peranda dan kecelaruan dalam masyarakat.

Justeru itu penulis merasakan penting perkara ini diberi perhatian sewajarnya.

1. Setiap orang mesti membersihkan dirinya dari sebarang sentiment ta’asub mazhab secara buta tuli kerana mazhab bukanlah sebagai factor memecahbelahkan Islam dan bukan sebagai agama-agama yang menasakhkan Syariat Islam, bahkan ia merupakan sebagai aliran pentafsiran dan pemahaman Syariah. Ia juga merupakan metod dan kaedah
dan kaedah penyelidikan dan kajian ilmiah dalam mengistinbat hukum. Kesemuanya bertujuan untuk mengetahui hukum-hukum yang diturunkan oleh Allah s.w.t.

2. Kita tidak harus merasa sempit dada dengan sebab wujud perbezaan mazhab kerana perbezaan dalam pemahaman dan istinbat adalah suatu perkara lumrah dan tabi’iy bagi akal manusia, maka sudah pasti akan berbeza dalam istinbat dan fahaman. Bahkan kita boleh berbangga dengan perbezaan ilmu fiqh yang ditinggalkan kepada kita sebagai suatu perbendaharaan fiqh yang amat berharga. Ia juga merupakan sebagai bukti betapa berkembang subur dan hidupnya fiqh, betapa luasnya pemikiran para fuqaha’ kita yang agong dalam melaksanakan kewajipan mereka memberi khidmat kepada Syariat Islam yang mulia.

3. Kita wajib menghargai segala usaha yang dicurahkan oleh ulama’- ulama’ mujtahidin dalam berbagai mazhab ini. Kita menghormati dan beradab dengan mereka dan kita percaya bahawa mereka akan diberi pahala sama ada betul ataupun salah, seterusnya kita berdoa untuk kebaikan mereka.

4. Kita tidak harus memaksa orang lain menerima pandangan kita dalam masalah khilafiyyah.

5. Kita tidak harus menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang kita anuti. Sebaliknya kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum- hukum yang disepakati para ulama’. Ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah:
“ لاينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه “
Maksudnya : “Tidak atau jangan dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha’. Dan sesungguhnya yang perlu dibantah ialah perkara munkar yang disepakati ulama’ atas pengharamannya”

6. Kita mesti beradab dengan ulama’ yang berbeza pandangan dengan kita, jangan celupar mulut melempar tuduhan kalimah bid’ah dalalah ke atas amalan-amalan yang khilafiyyah.

7. Jangan menuduh orang yang mengamalkan amalan yang kita tidak sependapatnya sebagai sesat, pembuat bida’ah, khurafat dan sebagainya kerana masing-masing ada hujah dan alasan yang perlu kita hormati.

8. Kita jangan terpengaruh dengan pendekatan sebahagian anak muda yang berlagak alim besar menghentam ulama’-ulama’ silam yang tidak sealiran dengan mereka, sambil menyeru masyarakat menentang amalan-amalan yang sudah mantap dalam masyarakat sedangkan amalan itu khilaf ulama’ padanya. Lebih dahsyat dari itu terdapat sebahagian mereka yang biadap menyeru supaya membakar kitab-kitab tua atau jawi lama kerana menurut pandangan mereka kitab-kitab tersebut menyesatkan. Subhanallah.

9. Kita sebagai seorang pendakwah, guru atau imam harus bijak dalam menangani masalah khilafiyyah. Amat bodoh kalau seseorang pendakwah membangkitkan perkara yang remeh-temeh dan khilafiyyah dalam ceramah-ceramahnya kerana ini boleh menimbulkan perpecahan dalam masyarakat dan tuduh-menuduh antara satu sama lain.

10. Sebagai seorang pendakwah, kita perlu memfokuskan syarahan dan pengajaran kepada persoalan pokok yang perlu kita berganding bahu dalam membangun atau meruntuhnya. Sepertimana yang diungkapkan oleh Syaikh Abd al-Rasyid Ridha:
“ نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه “
Maksudnya : “Saling bantu-membantu di antara kita dalam menegakkan perkara yang kita sepakati dan saling bertolak ansur dan bermaafan di antara kita dalam perkara khilafiyyah”.

11. Mengelak dari melakukan masalah yang dipertikaikan memang digalakkan berdasarkan kaedah fiqhiyyah
الخروج من الخلاف مستحب
( Keluar dari khilaf itu digalakkan)


BEBERAPA CONTOH MASALAH KHILAFIYYAH

1. Membaca doa Qunut.
2. Sembahyang sunat qabliah Maghrib.
3. Sembahyang sunat qabliah Jumaat.
4. Talqin mayat setelah dikebumikan.
5. Bacaan al-Qur’an dan tahlil dihadiahkan pahalanya kepada si mati.
6. Fidyah sembahyang.
7. Berwirid secara jama’ah selepas sembahyang fardhu.
8. Batal wuduk dengan sebab sentuhan lelaki dengan perempuan
yang harus dikahwini.
9. Membaca Usalli atau melafazkan niat sebelum takbir.
10. Bilangan rakaat sunat tarawih 20 atau 8
11. Membaca surah Yasin pada malam Jumaat
12. Maulid al-Rasul s.a.w.
13. Membaca Sayyidina dalam Salawat.
14. Imam berdoa lepas solat jama’ah dan makmum mengaminkannya.
15. Aqiqah dengan kambing sahaja.
16. Menyapu muka selepas memberi salam dan membaca:
“ أشهد أن لا إله الاهو الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عنى لهم والحزن “
“ بسم الله الذى لا إله الاهو الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عنى لهم والحزن “

KESIMPULAN

Perbahasan masalah khilafiyyah ini tidak wajar diperbesarkan dan saling menyalahkan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi menghukum bid’ah, khurafat dan kafir. Ini kerana khilaf dalam masalah furu’ suatu yang tidak dapat dielakkan. Apa yang penting bagi umat Islam ialah berganding bahu menegakkan Syariat Islam dalam diri, rumahtangga, masyarakat dan negara. Seterusnya memerangi kemaksiatan dan kemungkaran yang disepakati dan bekerja keras menegakkan yang ma’ruf yang diijma’ ulama’ di samping berlapang dada dan bertolak ansur ketika menghadapi perkara-perkara khilafiyyah dalam semangat persaudaraan Islam dan kesatuan ummah.